Mahkamah putuskan rayuan Syed Saddiq hari ini

Mahkamah putuskan rayuan Syed Saddiq hari ini

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan dijangka memutuskan penghakiman hari ini rayuan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk membatalkan hukuman penjara tiga tahun yang dijatuhkan terhadapnya selepas didapati bersalah atas pecah amanah jenayah dua tahun lalu.

Ini susulan perbicaraan rayuan Ahli Parlimen Muar itu telah memasuki hari terakhir, dengan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim berkemungkinan menyampaikan keputusan sebaik kedua-dua pihak selesai membuat penghujahan.

Bagaimanapun, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menangguhkan keputusan dan menetapkan tarikh lain bagi menyampaikan penghakiman, lapor Berita Harian.

Rayuan yang bermula semalam dimulakan dengan peguam Syed Saddiq, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, mengemukakan hujah pembelaan mengapa mahkamah perlu membatalkan keputusan mahkamah terdahulu.

Hisyam berhujah bahawa mahkamah sebelum ini telah terkhilaf apabila gagal mempertimbangkan bahawa pembelaan ahli politik berusia 32 tahun itu bukan sekadar penafian, sebaliknya satu cabaran yang disertai dengan penjelasan.

Prosiding hari ini, yang dijadual bermula pada jam 10 pagi, akan dimulakan dengan Ketua Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, menjawab hujah pembelaan dan meyakinkan mahkamah untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada November 2023, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan sebatan ke atas Syed Saddiq kerana bersubahat dalam pecah amanah membabitkan dana RM1 juta milik sayap Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (ARMADA).

Sekiranya rayuan itu berjaya, Syed Saddiq akan dibebaskan, namun pihak pendakwaan masih boleh merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Jika rayuan ditolak, Syed Saddiq masih mempunyai satu peluang terakhir untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *