13 warga Nepal diberkas cuba cetus rusuhan selepas rakan maut kes langgar lari

13 warga Nepal diberkas cuba cetus rusuhan selepas rakan maut kes langgar lari

15/03/2025

TELUK INTAN – Polis menahan 13 pekerja kilang warga Nepal kerana cuba mencetuskan rusuhan selepas seorang rakan mereka maut dalam kemalangan langgar lari di Batu 8, Jalan Changkat Jong, di sini, pada Jumaat malam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr. Bakri Zainal dalam kenyataannya berkata, semua mereka ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, sekitar jam 9.35 malam tadi, Bilik Gerakan Daerah Hilir Perak menerima panggilan mengenai satu kejadian kemalangan maut langgar lari melibatkan seorang pejalan kaki warganegara Nepal di Batu 8 Jalan Changkat Jong, Teluk Intan.

Berikutan kejadian itu, kira-kira 1,000 pekerja sebuah kilang turun ke tempat kejadian dan berkumpul di jalan raya sehingga menghalang lalu lintas.

Mengulas lanjut, Dr. Bakri berkata, polis telah digerakkan bagi menenangkan dan mengawal situasi.

Keadaan berjaya dipulihkan sepenuhnya pada jam 2 pagi Sabtu selepas semua pekerja berkenaan kembali ke asrama masing-masing.

Katanya, kes kemalangan lari disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, polis menyeru orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu agar berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mohammad Syamil di talian 011-10065817.

Terdahulu tular di media sosial sekumpulan pekerja warga asing berkumpul di jalan raya sehingga menghalang lalu lintas.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *