Agak lama Pak Long tidak kongsi pengalaman silam Pak Long di sini. Hari ini Pak Long hendak bercerita sedikit isi kandungan teks sastera pelajaran bahasa Melayu yang menjadi ingatan Pak Long sampai sekarang. Kalau tak salah ingatan, tahun 1964, Pak Long dalam tingkatan 2 di Sekolah Menengah Ibrahim, Sungai Petani, Kedah. Teks sastera yang Pak Long maksudkan itu ialah “Mekar dan Segar – Bungai Rampai Cerita-Cerita Pendek Angkatan Baru” (Asraf, Oxford University Press, Kuala Lumpur, 1959). Sembilan orang sasterawan Angkatan Baru yang dipilih karya mereka oleh Asraf untuk mengisi antologi ialah Ahmad Sanusi, Asmal, Awam-Il-Sarkam, Jaya, Keris Mas, Mas, Shafie Abdullah, Suman Mali dan Usman Awang. Sekadar contoh di antara karya besar lain yang terdapat dalam antologi ini ialah “Uda dan Dara” oleh Usman Awang dan “Kejadian di Dalam Estet” karya Keris Mas.
Setelah membaca semula cerpen-cerpen di dalam antologi ini, cerpen pertama di dalamnya yang bertajuk, “Kisah lama di-pondok” karya Ahmad Sanusi meninggalkan kesannya tersendiri terhadap diri Pak Long. Mungkin suasana politik di negara kita yang seringkali menjadi topik panas dalam masyarakat bila melibatkan isu-isu berkenaan agama Islam membuat Pak Long tertarik dengan cerpen ini. Untuk pembaca lebih faham dan dapat mengikuti jalan cerita cerpen ini, Pak Long akan petik latar belakang pengarang, pandangan Asraf tentang cerpen karya Ahmad Sanusi ini, dan – sepintas lalu berikan sinopsis cerpennya.
Dalam catatan biografi antologi, Ahmad Sanusi “lahir di Temerloh, Pahang, tahun 1927. Beliau bersekolah Melayu dan agama di-kampong, kemudian bekerja membantu keluarganya berniaga dan bertani; sa-telah itu menjadi tukang gambar. Mulai menulis cerita pendek (dengan nama samaran Asni) pada tahun 1948. Beliau bekerja di-Utusan Melayu dalam sidang pengarang mulai tahun 1953. Juga seorang penulis sajak, artikel dan penterjemah.”
Menurut Asraf, cerpen “Kisah lama di-pondok” oleh Ahmad Sanusi dan cerpen “Sa-buah Kampong di-tepi Pantai” hasil tulisan Jaya “membayangkan penentangan terhadap ‘kebiasaan burok’ yang masih terdapat di-kampong-kampong”. Dalam cerpen “Kisah lama di-pondok”, di antara contoh ‘kebiasaan burok’ yang digambarkan oleh Ahmad Sanusi ialah kegemaran tuan guru dalam soal nikah kahwin. Pengarang menggunakan watak Pa’ Uda Dolah, seorang yang ‘mereng atau tiga suku di kampong’ untuk mengkritik ‘kebiasaan burok’ yang dimaksudkan, contohnya, Pa’ Uda Dolah “selalu bersorak memperbandingkan betapa mudahnya untuk tuan guru berkahwin dan bercherai, sama seperti mengikat dan menguraikan serbannya yang berbelang hitam berambu hijau.”
Sebagai gambaran elok juga Pak Long berikan sinopsis atau jalan cerita cerpen ini. Watak utama cerita ialah Dul yang mengaji di pondok terkenal tuan guru al-Fadzil al-‘Alim al-Haji Faluthi. Dikatakan sejak awal bulan Muharram, makin malas si Dul mengaji walaupun selama ini bertahun-tahun, siang dan malam, dia mengaji. Sekarang keadaan sebaliknya telah berlaku; Dul sering saja mengantuk dan tidak berminat membaca kitab lagi. Dia hanya berminat duduk-duduk, memerhati anak-anak gadis di rumah di depan pondoknya membaca Quran. Salah seorang anak gadis itu yang dicintai dan pada mulanya mencintai Dul ialah Aminah, anak gadis ibu angkatnya. Malangnya ibu Aminah lebih berminat mahu mengahwinkan Aminah dengan tok guru yang diketahui seluruh penduduk kampung seorang “yang banyak beristeri dan bukan orang muda lagi”. Bukan itu saja Dul teramat kecewa kerana cinta Aminah telah berpindah kepada tuan guru dan berakhir sebagai isteri termuda tuan guru. Demikianlah larisnya tuan guru di mata sang ibu dan anak gadisnya.
Beberapa tahun telah berlalu, pembaca dimaklumkan bagaimana Dul bertemu seorang kawan lama yang belajar sepondok dengannya, sedang giat berusaha mengumpulkan dana untuk membina sekolah rakyat (bukan sekolah pondok) untuk penduduk kampung. Bagi temannya sekolah rakyat ini bertujuan memberikan “ pendidikan dan pelajaran membentuk budi dan jalan fikiran, dan untuk membina satu masyarakat manusia yang berbudi tinggi dan berfikiran luas maka cara-cara belajar dan mengajar, serta isi pelajaran yang diberikan kepada rakyat, haruslah diselidiki dengan saksama bagaimana akibatnya terhadap masyarakat kita.”
Pak Long yakin tentu ada bermacam soalan tentang seluruh jalan cerita “Kisah lama di-pondok”. Mungkin juga ada yang tidak begitu gemar apatah lagi bersetuju dengan mesej dan kesudahan cerpen ini lebih-lebih lagi pelbagai ‘kebiasaan burok’ yang lahir bersama tok guru dan pengaruh pondok yang dipimpinnya. Demikian ‘pengamatan berlapik’? seorang sasterawan era tahun 1959 berhubung isu agama Islam – khususnya pengaruh ‘pondok lama’, watak dan kegemaran pendukung utama institusi pondok iaitu tok guru. Paling ketara ialah dalam soal nikah kawin. Tidak ketinggalan pengarang juga tidak begitu gemar dengan sikap, penghormatan dan keterujaan luar biasa ibu bapa, anak gadis terhadap tingkah laku tuan guru dengan ‘kebiasaan burok’ seperti nikah-cerai sehingga “ orang2 di-situ ada yang berani mengakui, ta’ ada cherok kampong yang ta’ ada janda-nya” berleluasa dalam kalangan mereka yang memimpin institusi Islam ini.
Pada pandangan Pak Long, cerpen ini muncul pada zaman pertembungan politik kepartian iaitu di antara Umno-PAS di Persekutuan Tanah Melayu sedang membara dalam kalangan masyarakat, khususnya orang-orang Melayu. Kita tahu PAS parti serpihan Umno ditubuhkan dalam tahun 1951, sementara Persekutuan Tanah Melayu merdeka dalam tahun 1957. Sebenarnya pertembungan di antara PAS yang mendakwa dirinya Islamis dengan UMNO yang nasionalis itu hanya reda semasa kedua-dua parti Melayu itu duduk sebumbung dalam Barisan Nasional. Selain zaman itu, rasanya tidak ada ‘zaman’ kedua-dua parti ini berdamai dari sudut pertempuran politiknya. Ya benar, suhu panas politik menjadi reda apabila arwah Tun Razak menubuhkan Barisan Nasional.
Pada pandangan Pak Long, di antara ‘bacaan’ yang boleh ditanggapi berhubung pendirian Ahmad Sanusi sebagai pengarang ialah keberaniannya mengkritik tingkah laku tokoh agama yang pada pandangannya telah menggunakan agama untuk kepentingan diri sendiri. Bagi pengarang, tahap pemujaan yang berlebih-lebihan terhadap tok guru serta pengiktirafan yang istimewa terhadap institusi pondok oleh masyarakat menyebabkan wujudnya ‘kebiasaan burok’ yang merugikan. Boleh jadi juga ‘keberanian’ pengarang mengkritik tokoh agamawan yang mempunyai ‘kebiasaan burok’ ‘dipermudahkan’ oleh faktor kedudukan pengarang yang bekerja dengan sebuah akhbar yang menjulang tinggi semangat nasionalisme Melayu pada waktu itu.
Teramat menarik artikel ini, ia menambahkan lagi ilmu sastera dlm jiwa saya dan tahu betapa hebatnya sastera dulu yg dibarisi sasterawan tersohor.
Terima kasih kerana sudi beri respons. Bagi saya buku teks pelajaran bahasa Melayu zaman di sekolah dulu memang meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri saya.