Anwar Ibrahim: Potret Intelektual Politik

Anwar Ibrahim: Potret Intelektual Politik

“LENSA TAFAKUR”

Oleh: Mohd. Shah Abdullah

11/03/2025

KITA mengenali Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri selepas satu siri panjang perjuangan. Beliau telah melalui segala mehnah, dugaan dan tribulasi perjuangan.

Alang-alang memang lama sudah kecundang, lunyai, mengalah dan beralah daripada wilayah siasah yang penuh makar, tipu muslihat, seni serta kelicikan strategi. Anwar Ibrahim tidak pernah mengalah dan beralah.

Dia seorang pemberani dan memiliki “a sense of conviction”.

Beliau juga bukan sebarang tokoh. Lahir sebagai aktivitis belia Islam dan tokoh gerakan Islam, tetapi juga seorang yang kuat magnet intelektual. Anwar seorang “kutu buku” (avid reader), rapat dengan ilmuan dan ulama.

Pembacaan beliau komprehensif mencakupi segala hal berkaitan agama, politik, hubungan antarabangsa, sastera, bahasa, budaya, teknologi, media, sains dan segala genre yang mencambah ruang fikir dan horizon intelektual.

Masakan jika tidak menggulati buku, Anwar tentu tidak boleh mensyarahkan karya langka Shakespeare – sebuah karya sastera Inggeris paling sulit dan sukar dimengerti orang awam.

Anwar begitu “passionate” dengan Shakespeare sehingga pernah beliau menyebutnya sebagai satu bahan bacaan di sel penjara. Karya Shakespeare milik beliau dikatakan penuh catatan tambahan beliau sendiri!

Karya beliau “Gelombang Asia” yang terbit sebelum perselingkuhan hebat dengan mentor beliau, Dr. Mahathir Mohamed terbit circa 1990an hasil refleksi tajam perihal spektrum politik, ekonomi, budaya, diplomasi dan segala hal lain yang rencam.

Laras dan retorik bahasa Anwar selalu menimbulkan pesona. Dia mungkin dicemuh, diperli kerana seolah-olah berucap dan menulis menggunakan laras bahasa yang jarang atau tidak pernah digunakan.

Contoh istilah ketimbang. Dahulu Anwar selalu menggunakan para kembiri politik, bergentayangan, juga beliau suka menggunakan haraf seperti arakian, syahdan, hatta.

Apakah pelik? Tidak. Bahasa Melayu cukup kaya. Kosa kata bahasa Melayu jika digali dalam turath klasik cukup luas dan melaut. Cuma kita mungkin malas meneliti, mengkaji, memeriksa dan menyerapnya ke dalam perbendaharaan bahasa kita.

Seorang pemimpin harus memandu dan memberi hala tuju, pemimpin mencerahkan, bukan sekadar ikut angin, ikut suara majoriti. Tidak, pemimpin harus memimpin dengan suara keberanian, hatta menggunakan retorik bahasa yang lugas, tuntas dan kemas.

Anwar telah membuktikan. Ia bukan kosmetik tetapi autentik. Anwar bukan jenis yang sekadar membaca teks ucapan, tetapi hadam intipati mesej yang hendak disampaikan.

Caranya lewat pemakaian bahasa yang bukan biasa-biasa tetapi harus bergaya, bergema dan menampilkan nuansa yang bercakap seorang pemimpin. Tegas, cermat, teliti dan ada kalanya berbaur lelucon. “Saja saya melawak,” demikian seloroh Anwar.

Namun, cara penyampaiannya tetap mudah, indah, tepat, dan difahami. Bila berkomunikasi dengan khalayak lebih khusus seperti warga desa dan orang awam tentu Anwar dapat menyesuaikan dengan suasana khalayak tersebut. Bahasa yang lebih santai, mudah, jelas dan sampai maksud.

Bersama golongan intelektual dan ulama, tentu laras bahasa dan retoriknya sedikit kelainan kerana temanya lebih berat dan menjurus, konteksnya berbeza manakala subjek serta naratifnya lebih terfokus.

Bersama golongan pemain industri, ekonomi, masyarakat perniagaan, saintis, teknologis sudah tentu ada laras bahasa yang perlu disesuaikan. Di sini kelompok tersebut pentingkan data, fakta, angka, statistik dan dapatan kajian kerana puak ini melihat untung rugi, prediksi, ruang dan peluang, potensi dan ancaman.

Pun begitu Anwar tetap juga ada kalanya memilih menggunakan laras bahasa yang ada nilai estetika kerana beliau menyakini pertumbuhan ekonomi yang manusiawi.

Beliau tidak hanya obses dengan angka, data dan kadar pertumbuhan tetapi mengabaikan keadilan, kesamarataan, ihsan dan kemanusiaan. Anwar pembela golongan miskin dan kelompok Mustadh’afin yang lahir dari pergulatan panjang perjuangan beliau sejak zaman muda dan istiqamah sampai sekarang.

Anwar memiliki pesona dan karisma kepimpinan. Rantaian persahabatan beliau dengan tokoh kenamaan, intelektual, ulama, seniman, budayawan, pendidik, sasterawan ahli ekonomi, diplomat, pemimpin politik sama ada dalam mahu pun antarabangsa terjalin hasil kematangan perjuangan. Semua itu sudah menjadi satu aset dan pakej berguna ketika beliau sedang menerajui Kerajaan Madani.

Agenda Madani pun terungkap dan teradun hasil keyakinan beliau. Membina dan mencipta sebuah peradaban. Madani bukan lahir dari sulbi pandangan barat, civil society. Bukan sama sekali. Madani lahir dari ilham Madinah al-Munawwarah, paksi ketamadunan asli dalam tradisi Islam.

AlFarabi menamainya Madinah al-Fadilah, sebuah kota kebajikan, mementingkan inklusiviti dan meraikan kepelbagaian dalam masyarakat moden yang berkembang progresif.

Hubungan lalu Anwar dengan ulama-cendekiawan seperti Buya Hamka, Muhammad Natsir dan Syeikh Dr Taha Jabir memperkaya nuansa serta pengalaman beliau melihat potensi Islam di dunia Melayu.

Kefahaman beliau tentang pemikiran Muhammad Iqbal, Malek Ben Nabi, Jose Rizal, Sun Yat Sen dan segala koleksi pemikiran timur dan barat meletakkan Anwar dalam satu kelas pemikiran – dia lekat dan rapat dengan idea, gagasan dan pemikiran.

Namun, Anwar bukanlah insan sempurna. Dia memiliki kekurangan dan kelemahan juga. Dia pemimpin politik. Lebih mudah mencari kesalahan dan kekhilafan itu terutama dalam era medsos, orang mudah menjejaki apa silap kita ketimbang apa kebaikan kita!

Kelemahan Anwar barangkali boleh ditampung melalui kepimpinan kolektif, musyawarah, sinergi idea dan aksi kolektif jemaah menteri Kerajaan Madani.

Setakat ini Anwar tetap melakar citra dan wajah keperibadian beliau sebagai seorang pemimpin politik bernuansa intelektual.

Beliau berikhtiar membawa gaya baharu dalam siasah kepimpinan negara melalui urus tadbir baik, memacu ekonomi dan dalam masa yang sama – mementingkan etika.

Biodata Penulis: Mohd. Shah Abdullah adalah mantan wartawan dan mantan Pensyarah dalam bidang Komunikasi dan Media. Fokus penulisan beliau ialah memperkukuhkan naratif Melayu-Islam dalam konteks masyarakat jamak budaya, selain tumpuan kepada aspek bahasa, sastera, seni, agama dan pemikiran.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *