JPN tahan individu guna MyKad palsu beli iPhone

JPN tahan individu guna MyKad palsu beli iPhone

09/03/2025:

POKOK SENA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menahan seorang individu yang disyaki menggunakan MyKad milik orang lain untuk melakukan pinjaman, semalam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, lelaki warga tempatan berusia 35 tahun itu ditahan pada jam 7.30 petang di Kampung Pandan, Kuala Lumpur susulan tindakan pantas JPN.

“Ada seorang individu, dia muat turun dalam media sosial mengenai kehilangan MyKad beberapa tahun lalu… kemudian dia dapati ada orang lain yang menggunakan identiti dia buat pinjaman untuk pembelian peranti telefon.

“Dia tampil membuat laporan mengenai kehilangan MyKad dan dia syak MyKad dia telah diklon… bertindak atas aduan itu JPN melakukan risikan dan satu tangkapan ke atas suspek telah dibuat semalam,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni bersama JPN di sini.

Menurut Saifuddin, siasatan awal jabatan itu telah mengenal pasti identiti sebenar suspek dan pemeriksaan badan yang dilakukan turut menjumpai sekeping lagi MyKad disyaki palsu.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Peraturan 25(1)(e) dan Peraturan 25(1)(o), Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana menggunakan MyKad palsu sebagai pengenalan diri dan memiliki MyKad orang lain.

Menurut menteri, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan melakukan tangkapan seterusnya berdasarkan siasatan ke atas suspek.

Baru-baru ini, media melaporkan seorang lelaki terkejut apabila mendapati terdapat rekod pembelian iPhone 16 Promax 1 TB di sebuah kedai di Cheras, Kuala Lumpur menerusi pembiayaan pinjaman sebuah syarikat pinjaman berlesen menggunakan MyKad miliknya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, JPN menerima sebanyak 12,101 kes keciciran dokumentasi iaitu sijil lahir, sijil warganegara dan MyKad melibatkan pelajar.

Katanya, JPN menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Didik meletakkan sasaran untuk menyelesaikan semua kes tersebut menjelang Jun ini bagi mengelakkan pelajar terbabit keciciran pelajaran.

“Angka 12,101 itu Kementerian Pendidikan bagi kepada kami (KDN), jadi saya minta JPN, menjelang Jun ini kena selesaikan semua kes, setakat hari ini kita telah selesaikan 4,565 kes atau 38 peratus,” katanya. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *