Houthi beri amaran serang semula Israel jika menyekat bantuan ke Gaza

Houthi beri amaran serang semula Israel jika menyekat bantuan ke Gaza

09/03/2025

KAHERAH – Pemimpin kumpulan Houthi di Yaman, Abdul Malik al-Houthi, semalam memberi amaran bahawa mereka akan menyambung semula serangan terhadap Israel jika negara itu tidak menghentikan sekatan bantuan ke Gaza dalam tempoh empat hari.

Pergerakan yang disokong Iran itu melancarkan lebih 100 serangan terhadap kapal dagang sejak November 2023, dengan alasan menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin dalam peperangan antara Israel dan Hamas di Gaza. Serangan itu berkurangan sejak Januari lalu selepas satu gencatan senjata dilaksanakan.

Sepanjang tempoh berkenaan, Houthi sudah menenggelamkan dua kapal, merampas sebuah lagi kapal dan menyebabkan sekurang-kurangnya empat kelasi maut dalam serangan yang mengganggu perdagangan global, memaksa syarikat perkapalan menukar laluan ke perjalanan lebih jauh dan mahal melalui selatan Afrika.

Abdul Malik berkata, tempoh empat hari yang diberikannya itu adalah untuk perantara (gencatan senjata di Gaza) melaksanakan usaha mereka.

“Sekiranya selepas empat hari berkenaan Israel masih menghalang bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza dan terus menutup semua laluan sepenuhnya, kami akan menyambung semula operasi laut kami terhadap Israel,” katanya.

Baru-baru ini, Israel bertindak menyekat kemasukan trak bantuan ke Gaza ketika ketegangan mengenai gencatan senjata semakin memuncak, dengan Hamas meminta Mesir dan Qatar sebagai perantara untuk campur tangan.

Februari lalu, Houthi yang menguasai sebahagian besar Yaman, turut memberi amaran bahawa mereka akan mengambil tindakan ketenteraan jika Amerika Syarikat (AS) dan Israel cuba mengusir rakyat Palestin dari Gaza secara paksa. – REUTERS

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *