Tergugatkah Dr. Na’im?

Tergugatkah Dr. Na’im?

Oleh Ibnu RushDee

KITA tercari-cari di mana kekuatan yang ada pada Dr. Mohd Na’im Mokhtar? Antara Menteri Hal Ehwal Agama yang dikatakan tidak begitu ‘keras’ dan ‘lemah’.

Adakah ia satu polemik atau suara-suara sumbang yang lebih kepada cemburu dan iri hati? Benarkah hentaman yang diterima Dr. Mohd Na’im boleh memberi kesan buruk terhadap keupayaan bekas Ketua Hakim Mahkamah Syarie itu berundur? Atau semakin kuat untuk mengembangkan syiar Islam di negara ini.

Secara jelas, selepas lebih dua tahun menduduki kerusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Mohd Na’im semakin mempamerkan belangnya ke tahap lebih positif.

Sebagai contoh, pelan Transfomasi Al-Falah pada awal pelantikan beliau ke jawatan berkenaan. Pelan Al-Falah ini diusahakan secara teliti supaya pentadbiran agama Islam di negara ini dapat berubah dari baik kepada lebih baik.

Perkara yang dilakukan Dr. Mohd Na’im amat penting untuk memastikan kejayaan dalam pentadbiran hal ehwal Islam, semua warga Jabatan Perdana Menteri dan agensinya perlu bersungguh-sungguh memainkan peranan masing-masing.

Kenapa Dr. Mohd Na’im dicemburui?

Senang jawapannya – banyak kejayaan dicapai sepanjang tempoh lebih dua tahun Kerajaan Perpaduan ialah dengan melaksanakan 34 skim bantuan di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi tujuan membawa kelompok asnaf keluar dari kepompong kemiskinan.

Selain itu, antara kejayaan lain yang membanggakan ialah memendekkan tempoh proses pensijilan halal daripada 90 hari kepada 30 hari.

Agak memberangsangkan hampir 70 peratus permohonan persijilan halal dikeluarkan berbanding 60 peratus sebelum ini.

Pemerkasaan mahkamah syariah antara yang turut diberi tumpuan pada tahun pertama sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan. Sebaik sahaja beliau dilantik dalam kabinet, Dr. Mohd Na’im mengarahkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) – tempat lama beliau – untuk meningkatkan kerjasama dengan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri bagi membawa institusi mahkamah syariah ke tahap lebih dihormati.

Pendek kata, apa sahaja yang dirancangkan Dr. Mohd Na’im seperti elaun guru Kafa, imam, pengawal masjid, nasib mualaf, pendidikan Islam, umrah dan haji; hubungan antara kaum dan agama, kekeluargaan Islam, memperjuangkan isu Palestin serta perkara yang berkaitan dengan agama rasmi negara, tidak boleh dipertikaikan.

Apakah kerana beliau seorang yang tidak banyak cakap dan tidak berpolitik, jadi ada pihak yang cuba membakar atau menanam sifat tidak baik supaya Dr. Mohd Na’im digugurkan daripada kabinet Madani?

Jawapannya juga mudah, memang ramai – terutama mereka yang lama dan menjilat PMX. Untuk berbicara soal kerja – Dr. Mohd Na’im menjalankan kerja yang baik perlukah kita membandingkan mereka semua?

Ini kerana kita semua lebih tahu bahawa Dr. Mohd Na’im bukan sahaja mampu menggalaskan tugas yang diamanahkan, malah boleh meyakinkan Majlis Raja Raja (MRR) dengan cara kerja beliau di arena.

Dr. Mohd Na’im tidak perlu membodek, menjilat, menayangkan kepandaian, mengipas Perdana Menteri – apa yang dibuat adalah kehendak semua mengangkat martabat Islam dan mengembangkan syiar agama ke tahap yang tidak boleh dipersoalkan.

Biarpun beliau sering dimomok sebagai Menteri Agama yang tidak banyak cakap – tapi hakikatnya Dr. Mohd Na’im adalah sosok yang mampu memberi kebaikan secara meluas dan tidak perlu bercakap yang boleh menimbulkan kontroversi untuk popularkan diri.

Bagi penulis, Dr. Mohd Na’im masih yang terbaik untuk beliau ada bersama kita mengembangkan syiar Islam dan pilihan MRR dalam kabinet Kerajaan Madani amat bersesuaian demi menjaga kemaslahatan sejagat.

Dr. Mohd Na’im dalam bidasan sebelum ini, pernah meminta semua pihak menjauhi perbuatan yang boleh menimbulkan kebencian antara kaum, memfitnah menggunakan kata kesat dan membuli di media sosial, tugas ini amat penting kerana ia merupakan langkah memerdekakan diri yang sememangnya ia ada anjuran dalam Islam.

Apa yang kita lihat daripada sindiran ini – ia jelas satu kata kata jujur dan murni supaya masyarakat terutama mereka yang terjebak dalam dunia politik berhati-hati dengan permainan platform yang ada dalam media sosial, sesungguhnya ia mampu menjaga kita di dunia dan di akhirat.

Bagi penulis, sudah sudahlah bagi mereka yang ingin mengejar kedudukan Dr. Mohd Na’im, apatah lagi tiada apa yang mampu dibawa lari ‘kerusi’ itu kerana pilihan sudah di tangan MRR dan beliau masih mampu menggalasnya tanpa perlu menyerahkannya (jawatan).

Yang jelas bagi penulis ~ Tergugatkah Dr. Mohd Na’im? Jawapan ada pada kabinet Madani sendiri.

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *