“Hospital Universiti Kehidupan”

02/03/2025:

Coretan Mohd Shah Abdullah

TANPA diduga buat pertama kali Ramadan 1446H ini aku bermula di kamar wad sebuah hospital di Seremban. Ini sebuah ketentuan dalam radar qada’ dan qadar Ilahi.

Hospital dan diriku bukan asing. Sejak remaja aku sering keluar-masuk hospital sehingga usia emas kini. Paling awal tahun 1984, tahun pertama di universiti sudah memasuki Hospital Pulau Pinang menjalani rawatan pembedahan.

Di sekitar Negeri Sembilan ini, aku pernah dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Hospital Columbia, Hospital KPJ dan Nilai Medical Centre@Aerolius Hospital. Ada pelbagai sakit dan penyakit. Jadi, sudah biasa dan bukan asing.

Cuma, kali ini malam pertama Ramadan terpaksa dirawat dan direhatkan di sini. Bayangkan ketika seluruh umat Islam sudah bersedia untuk ke masjid dan musolla memulakan terawih dan awal pagi untuk bersahur, aku di sini seorang diri sambil bertafakur mengenang diri. Namun, yakinlah, kecil sangat ujian ini!

Ramai lagi yang jauh hebat, sulit, dan dahsyat sekali ujiannya. Ini sekadar berehat di sini dipantau doktor dan jururawat terlatih. Kamar pun bersih, kemas, dan selesa. Kulihat di luar jendela menghadap bandar Seremban…indah panorama malam meskipun jam 12 malam mobil masih berkeliaran lagi. Cantik juga panorama malam disinari lampu bergemerlapan.

Pernah dahulu aku menulis hospital ini sebagai Universiti Kedua. Ya, kerana di dalamnya rencah dan rencam. Pelakunya semua manusia, ada pun bangunan, alatan, mesin, ubat-ubatan, diagnosis, rawatan, terapi, itu semua pelengkap bagi mencari penyelesaian insan yang namanya sakit dan penyakit.

Selebihnya, kita manusia adalah aktornya. Sakit itu ajal dan takdir. Pasti ada puncanya. Kata orang tua-tua dahulu, sakit bermula, mati bersebab. Jika dosa bertaubat, sakit berubat. Itu sebab klinik kesihatan dan hospital kini semua penuh sebab banyak yang sakit.

Tiada yang gemar ke hospital atau rumah sakit. Kita terpaksa ke sini kerana terpaksa untuk mencari penawar atau syifa. Ini ikhtiar, jika diizin Allah sembuh, maka baiklah kita. Jika tidak, itu ketentuan takdir.

Di sini kita temui bermacam ragam pesakit dan penyakit, yang kronik, tenat, darah tinggi, diebetes, dialisis, pesakit biasa, asma, stress dan segala lagi jenama penyakit. Betul juga, akhir zaman ubat dan penawar makin banyak ditemui tetapi penyakit pun kian berganda.

Renungan di sini ialah tentang diri dan kehidupan kita. Hospital mengajar kita erti muhasabah dan tafakur diri.

Renung dan tilik betapa sejauh mana perjalanan dan kehebatan diri kita, akhirnya akan bertemu garis akhir pemisah jua. Kita hanya melayari sebuah laluan yang pasti bertemu noktah akhir.

Hospital dan segala kecanggihan prasarana hanyalah sekadar wahana, sekadar memudahcara dan ikhtiar manusiawi semata-mata. Jika berjaya, itu takdir Ilahi, jika sebaliknya ikhtiar telah terpenuhi.

Bukankah sesuatu yang indah bila Allah pilih kita berada di sebuah kampus kehidupan pada malam pertama Ramadhan?

Mana tidaknya, Allah memilih kita di sini untuk berfikir lebih serius dan menjurus akan hakikat kita sebagai insan, kemanusiaan, dan falsafah sebuah kehidupan.

Mungkin, jika di luar saya lalui kehidupan sekadar iseng-isengan, berpuasa, ke masjid, tidur, berbuka – sekadar rutinitas biasa semata-mata.

Tiba-tiba di sini, saya melihat kehidupan ini daripada lensa dan panorama yang berbaur antara indah, tenang, damai dan ngeri serta bimbang.

Ini kerana di sini bukan stesen sebenar kita. Ini sekadar transit, nanti ada beberapa transit dan stesen abadi.

Ketika itu, ia bukan lagi kampus kehidupan, tetapi kampus Abadi. Semua mengharapkan Jannatul Firdaus.

Bukankah Ramadan itu membuka pintu Jannah? Hospital pun mendidik kita mengenal Jannah. Kampus Kehidupan ini refleksi sebuah Kampus Abadi.

Kita mencari Jannatul Firdaus lewat pintu puasa, al-Quran, zikir, doa, sedekah, munajat dan ibadah! Pintu ar-Rayyan sedang dibuka!

Catatan Hj. Mohd. Shah Abdullah, kampus Hospital KPJ, Seremban (Tulip).

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *