Jangan cetus spekulasi dalam isu garis panduan muslim di majlis non muslim

Jangan cetus spekulasi dalam isu garis panduan muslim di majlis non muslim

KUALA LUMPUR – Niat suci penggubal garis panduan bagi mana-mana muslim untuk berada dalam majlis non-muslim tidak diragui sama sekali, kata Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.

Kata beliau, ianya sebagai panduan, bukan bersifat perundangan atau penguatkuasaan.

Hingga kini, menurutnya, garis panduan itu hanya diketahui melalui kenyataan Menteri Hal Ehwal Agama di Jabatan Perdana Menteri tanpa memperincikan apa yang terkandung di dalamnya.

“Sehingga garis panduan itu didedahkan kepada umum, semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau hipotesis yang berkemungkinan boleh mencetuskan polemik hubungan antara kaum dan agama dalam negara ini.

“Secara umumnya majlis non muslim yang dihadiri bersifat budaya, sosial dan campuran agama/kebudayaan/sosial. Adapun majlis agama atau upacara tertentu bagi non muslim perkara ini jelas tidak memerlukan kehadiran mana-mana muslim kerana tiada keperluan dan bercanggah dengan prinsip syariat Islam.

“Jika perlu sekalipun ia mestilah dijustifikasikan kepada orang muslim tertentu dan atas keperluan tertentu serta dengan mengikuti adab-adab tertentu sebagai seorang muslim seperti mana ditetapkan dalam Fiqh Hubungan Antara Agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Mujahid, secara umumnya seseorang muslim berpegang kepada konsep “Lakum dinukum Wali yadin” iaitu “Bagi kamu agama kamu, bagi aku agama aku”.

Ini katanya, bermakna seorang muslim tidak boleh mengiktiraf atau meraikan atau mengikuti mana-mana upacara ibadat non muslim atas apa jua alasan sekalipun.

“Ini bukan bermakna seorang muslim tidak menghormati kepada apa sahaja upacara yang hendak dilakukan jika ia adalah tuntutan dari agama tersebut atas konsep “La ikraha fid Din”.

“Secara Siyasah Syariah, panduan adab muslim dalam hubungan bukan Islam juga ditentukan oleh undang-undang dalam negara dan keperluan mana-mana pemimpin muslim untuk hadir dalam maslahah yang lebih besar dengan tetap berakhlak menepati adab-adab seorang muslim.

“Pihak non muslim seharusnya turut memahami kehendak ini dan lebih sensitif untuk tidak melanggar batasan ini,” ujar beliau.

Kata beliau, semua pihak perlu memahami dalam konteks hubungan antara agama adanya ruang eksklusif yang dilarang dan ruang inklusif diharuskan serta memahami ruang keperluan dan ketidakperluan.

“Dalam semua keadaan Syariat Islam menyediakan adab dan akhlak yang mulia.

“Dalam hubungan antara agama soal asas ialah memastikan hidup dalam kedamaian dan menghormati hak beragama, manakala hadir atau tidak hadir ke dalam majlis non muslim ianya perlu ditetapkan oleh suasana dan bentuk majlis serta keperluan kehadiran. Ia bukanlah cek kosong tanpa melihat faktor-faktor di atas.

“Kita menunggu pencerahan secara terperinci garis panduan ini supaya dapat memenuhi tujuan Islam dan hasrat utama Syariah untuk mencapai hubungan yang damai antara agama dan kaum, bukan hubungan yang berlaku atas prejudis dan kebencian serta permusuhan,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *