PARIS – Paris Saint-Germain (PSG) bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengejutkan Manchester City 4-2 pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi sekali gus menyaksikan kelab Inggeris itu terkeluar daripada tempat ke playoff dan berdepan bahaya tersingkir.
Gol daripada pemain PSG, Ousmane Dembele, Bradley Barcola, Joao Neves dan Goncalo Ramos mengubah keputusan perlawanan selepas City mendahului dengan bergaya.
Pemain gantian Jack Grealish dan Erling Haaland meledak gol pada minit ke-50 dan 53 untuk membolehkan City mendahului 2-0, tetapi peminat yang memberanikan diri dalam hujan lebat di Parc des Princes disajikan dengan kebangkitan mengagumkan pasukan tuan rumah.
Dembele menyambut hantaran silang Barcola untuk merembat masuk pada minit ke-56.
Barcola menyamakan kedudukan empat minit kemudian apabila dia menampan masuk bola muntah selepas percubaan hebat Desire Doue melantun dari palang gol.
PSG berkubu di kawasan City dan mendahului pada minit ke-78 apabila benteng pelawat gagal menangani sepakan percuma Vitinha, membenarkan Neves menanduk masuk dari jarak dekat manakala Ramos menambah gol keempat pada masa kecederaan.
PSG melonjak ke tangga ke-22 carta, dengan City, yang menjulang trofi Liga Juara-Juara pada tahun 2023 namun hanya menang dua daripada tujuh aksi kumpulan mereka, merudum ke tangga ke-25, satu anak tangga di bawah tempat ke playoff.
Kekalahan City mencetus hari terakhir mendebarkan apabila mereka melayan kunjungan kelab Belgium, Club Brugge pada 29 Januari ini.
Lapan pasukan teratas layak secara automatik ke pusingan 16 terakhir, manakala pasukan yang berakhir di tangga kesembilan hingga ke-24 bersaing dalam aksi timbal balik playoff bagi meraih tempat ke pusingan kalah mati. – REUTERS
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001