CHUKAI – Polis menahan seorang lagi suspek bagi membantu siasatan berhubung kejadian memukul seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, di sini, kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja’afar, berkata lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan, kira-kira jam 11.30 malam tadi.
“Lelaki itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman malam tadi.
“Ia bagi memberi keterangan dan rakaman percakapan dan setakat ini empat lelaki ditahan,” katanya.
Wan Muhamad berkata, sebelum ini tiga lelaki berusia 18 hingga 60 tahun ditahan pada hari kejadian bagi membantu siasatan.
“Pihak kami turut memanggil seberapa saksi lain untuk diambil keterangan, termasuk ahli keluarga mangsa.
“Kita akan jalankan siasatan secara menyeluruh dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi Jumaat lalu, mangsa seorang OKU mental berusia 47 dipukul beberapa individu.
Berikutan itu, mangsa mengalami kecederaan dipercayai akibat dipukul dan disepak oleh beberapa individu dipercayai peniaga dan pembeli di pasar tani berkenaan.
Mangsa dipukul dipercayai selepas motosikal ditunggannya terlanggar salah sebuah gerai jualan menyebabkan makanan yang dijual terjatuh dan tumpah.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252