SEPANG – Pasangan suami isteri yang juga pemilik syarikat Hejira Travel & Tours Holding Sdn. Bhd., yang disyaki terbabit dalam penipuan umrah, direman tiga hari bermula hari ini.
Peguam yang mewakili pasangan terbabit, Iman Norhizam berkata, mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penipuan umrah.
Katanya, Majistret Muhammad Bukhori Md. Ruslan membenarkan reman terhadap suspek selama tiga hari sehingga Sabtu ini.
“Selain pasangan terbabit, enam pekerja syarikat agensi pelancongan itu juga direman tiga hari,” katanya kepada media hari ini.
Iman berkata, anak guamnya memberi kerjasama baik kepada polis dalam menjalankan siasatan.
Semalam, BH melaporkan pasangan berusia 31 tahun itu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) kira-kira jam 7 malam di sini, selepas mengadakan sidang media bersama sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan semalam berkata, tujuh laporan polis diterima membabitkan kesalahan penipuan pakej umrah dengan keseluruhan kerugian dianggarkan bernilai RM2.1 juta yang dialami 379 mangsa.
Siasatan awal mendapati syarikat ini mula menjalankan perniagaan sejak 2022, namun berpindah ke premis tiga tingkat di Sepang, sejak Oktober tahun lalu.
Selasa lalu, kecoh di media sosial kira-kira 300 jemaah umrah terkandas apabila penerbangan mereka ke Tanah Suci ditunda syarikat pengendali umrah itu.
Susulan itu, Pengarah Urusan Syarikat Umrah Hejira Travel & Tours Holding Sdn. Bhd. membuat permohonan maaf secara terbuka berikutan insiden itu dan menawarkan tiga penyelesaian termasuk pemulangan 100 peratus pengembalian wang jemaah. – BHNews
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252