Perkasa ingatkan Teresa Kok jangan biadab campuri urusan agama Islam

Nyah keluar KK Mart dari kawasan universiti – Perkasa

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa pihak Universiti Malaya (UM) menghalau keluar kedai runcit 24 jam yang menjual makanan sandwic ‘ham’ di kawasan institusi itu dengan mencari pembekal baharu yang membekalkan produk pemakanan halal.

Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris menegaskan, kedai runcit KK Supermart telah dua kali mengguris perasaan umat Islam, yang mana kali pertama menjual stokin tertera kalimah Allah pada Julai tahun lalu.

“Kita harap pihak UM dapat mencari pembekal yang baru untuk kemudahan penuntutnya dan senarai hitamkan terus jenama KK Mart dari terus masuk ke mana-mana premis dalam institusi pengajian tinggi.

“Pada masa sama, Perkasa mengecam tindakan KK Mart membekal sandwich yang diragui status halalnya di premis perniagaan dalam kawasan UM.

“Pendedahan ini juga telah dibuat dengan laporan polis oleh penuntut yang telah meragui status makanan tersebut. Malah produk tersebut telah menyalah gunakan sijil halal yang tertera pada produk tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, KK Supermart & Superstore Sdn Bhd membekukan urusan perniagaan dengan syarikat pengeluar sandwic ‘ham and cheese’ sementara dalam tempoh siasatan susulan isu penggunaan logo halal yang diragui pada produk itu.

Syarikat peruncitan tempatan itu memaklumkan, pihaknya turut menghentikan kemasukan produk berkenaan di 16 KK Concept Store dan menutup dua premis di UM untuk siasatan lanjut.

Menurut Irwan Fahmi, mana-mana unversiti yang masih menggunakan pembekal dari KK Mart harus membuat keputusan untuk memboikot apa saja produk yang datang dari syarikat tersebut.

“Kita mahukan tindakan tegas diambil ke atas syarikat itu kerana menggunakan sijil halal palsu bagi mengaburi mata pengguna dan ini telah dibuktikan oleh pihak JAKIM yang membuat pengesahan mengenai status halal produk berkenaan.

“Perkasa juga menggesa kerajaan memainkan peranan mengharamkan kedai KK Mart yang jelas dan terang telah menghina kesucian Islam dengan menggunakan logo halal pada makanan yang mempunyai bahan meragukan.

“Cukuplah selama ini KK Mart telah melukakan hati umat Islam dengan stokin ada kalimah Allah, kini muncul luka baru, yang sudah tentu umat Islam di negara ini tidak boleh menerimanya,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *