KUALA LUMPUR – KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Supermart) membekukan urusan perniagaan dengan syarikat pengeluar sandwic ‘ham and cheese’ sementara dalam tempoh siasatan susulan isu penggunaan logo halal yang diragui pada produk itu.
Syarikat peruncitan tempatan itu memaklumkan, pihaknya turut menghentikan kemasukan produk berkenaan di 16 KK Concept Store dan menutup dua premis di Universiti Malaya (UM) untuk siasatan lanjut.
“Untuk makluman semua, produk sandwic itu dikilangkan dan diusahakan oleh sebuah syarikat pengeluar, dengan produk terbabit dipasarkan kepada pelanggan melalui beberapa platform perniagaan termasuk KK Concept Store.
“Pihak syarikat terbabit mengemukakan sijil halal bagi kepingan ayam serta kepingan keju, dan penulisan perkataan berkenaan adalah daripada pihak syarikat itu.
“Tulisan dipamerkan pada bungkusan roti sandwic itu juga adalah daripada pihak syarikat terbabit,” menurut kenyataan berkenaan.
Menurut kenyataan itu lagi, pihak KK Supermart melalui peguam dilantik sudah menghantar surat tuntutan (LOD) kepada syarikat terbabit pada 10 Januari lalu serta membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan, kelmarin.
Katanya, difahamkan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sudah melakukan serbuan di kilang pengeluar di Sunway Damansara, Petaling Jaya, Selangor, Jumaat lalu.
“Pihak kami (KK Supermart) bersedia memberikan kerjasama sebaiknya.
“KK Supermart juga memandang serius perkara itu dan sekali lagi menyatakan akan sentiasa memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam membantu siasatan.
“Demi menjaga kepercayaan dan keselamatan pelanggan, kerjasama penuh akan diberikan dalam memastikan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang mencemarkan keyakinan serta kesejahteraan pelanggan kami,” katanya.
Menurut kenyataan itu, KK Supermart juga sentiasa komited mengekalkan standard tertinggi dalam memberi kualiti dan memastikan integriti produk dalam keadaan terbaik.
Pihak syarikat turut mengambil langkah untuk mengelak kejadian sedemikian daripada berulang.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001