FMBA gesa kerajaan campur tangan kenaikan 14% tarik Elektrik

FMBA gesa kerajaan campur tangan kenaikan 14% tarif Elektrik

KUALA LUMPUR – Gabungan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) menggesa kerajaan campur tangan kenaikan 14 peratus dalam tarif klektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

NGO itu juga menyeru kerajaan menangani kesan signifikan yang akan dihadapi pelbagai sektor, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta orang awam akibat kenaikan tarif elektrik bermula Julai ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Malik Abdullah berkata, kenaikan dari 39.95 sen kepada 45.62 sen per kilowatt/jam secara langsung meningkatkan perbelanjaan untuk perniagaan.

“Ini akan memberi kesan besar terhadap kelayakan kewangan mereka dan membawa kepada harga lebih tinggi bagi pengguna.

“Kos yang lebih tinggi untuk tarikan pelancongan utama, hotel dan restoran mungkin menjadikan Malaysia kurang menarik kepada pelancong berbanding negara jiran seperti Thailand dan Indonesia, yang mungkin menawarkan alternatif lebih murah, terutama dengan Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.

“Selain itu, kenaikan tarif ini mungkin menyumbang kepada inflasi, meningkatkan kos sara hidup secara keseluruhan dan membebankan usaha pemulihan ekonomi bagi kedua-dua perniagaan dan individu,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan, bermula 1 Julai 2025, tarif elektrik asas di Semenanjung Malaysia akan meningkat 14.2 peratus kepada 45.62 sen/kWj bagi tempoh 2025 hingga 2027.

Pelarasan naik daripada kadar semasa 39.95 sem/kWj ini adalah hasil penelitian yang dicapai pada rangka kerja kawal selia sektor kuasa kelak.

TNB menerusi makluman kepada Bursa Malaysia, sebarang percanggahan dalam kadar dari Januari hingga Jun 2025 akan dilindungi oleh Kumpulan Wang Industri Elektrik.

Menurut Abdul Malik, PKS sudah pun menghadapi peningkatan kos semasa dan yang dirancang seperti gaji minimum, pelaksanaan invois elektronik dan keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

Oleh itu, ujar beliau, FMBA menekankan perlunya kerajaan, khususnya Kementerian Kewangan, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk campur tangan dalam isu penting ini.

“FMBA mencadangkan TNB untuk mengekalkan tarif semasa. Mengekalkan kadar elektrik sedia ada akan memberikan kelegaan segera dan lebih ruang untuk bernafas kepada perniagaan, selepas pandemik Covid-19, membolehkan mereka untuk menstabil dan pulih daripada tekanan ekonomi.

“Seterusnya, TNB harus memanfaatkan keuntungan yang besar untuk menampung kos operasi dan penambahbaikan infrastruktur, mengurangkan keperluan untuk kenaikan tarif dan tidak membebankan kos kepada PKS.

“Kita juga mencadangkan pengenalan Tarif Mengikut Masa Penggunaan, di mana strategi harga dan insentif dilaksanakan kepada PKS yang menggalakkan penggunaan di luar puncak, membantu perniagaan untuk menguruskan kos tenaga dengan lebih berkesan dan mengurangkan permintaan puncak pada grid,” katanya.

Beliau berharap, untuk mendapatkan ketelusan dalam pengumuman yang dibuat oleh TNB, dengan mengutamakan penglibatan awam bersama pemegang taruh termasuk PKS dan kumpulan pengguna untuk membincangkan struktur tarif serta mempertimbangkan maklum balas mereka. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *