RM3 juta peruntukan dari YBR untuk pembangunan pendidikan di Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat

RM3 juta peruntukan dari YBR untuk pembangunan pendidikan di Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat

KOTA BELUD – Yayasan Bank Rakyat (YBR) akan menyalurkan peruntukan selama satu tahun bagi Program Pembangunan Pendidikan Sabah Tahun 2025.

Peruntukan sebanyak RM3 juta itu melibatkan beberapa kawasan Parlimen di Sabah iaitu Kota Belud, Marudu dan Kudat.

Objektif inisiatif itu adalah bagi menoktahkan kemiskinan melalui pendidikan, di mana Sabah merupakan negeri yang mempunyai kadar kemiskinan tertinggi di Malaysia.

Selain itu, ia juga bagi meningkatkan mutu pendidikan di kalangan pelajar kurang bernasib baik terutama yang berada di kawasan luar bandar.

Untuk makluman, bantuan itu melibatkan kumpulan individu dari kalangan asnaf dan B40 di kawasan Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat serta dijangkakan kira-kira 65,000 pelajar akan menerima manfaat daripada inisiatif berkenaan.

Penyerahan replika cek Program Pembangunan Pendidikan Sabah Tahun 2025 telah disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang diiringi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.

Majlis diadakan di Kadamaian Square, Taginambur, Kota Belud semasa Program Santuni Madani KUSKOP Bersama Komuniti Kota Belud, di sini, hari ini.

Majlis ini turut dihadiri Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang; Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd. Rahman; Ketua Bahagian Pentadbiran Korporat, Khairul Na’im Arifin; dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Sementara itu, Ewon dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada YBR kerana sentiasa menyokong meningkatkan tahap pendidikan golongan kurang bernasib baik dalam mendapatkan pendidikan terbaik terutama bagi pelajar yang berada di pedalaman.

Katanya, bantuan RM3 juta bagi tahun 2025 itu adalah untuk pendidikan melalui tuisyen dan seminar kepada calon SPM, bantuan persekolahan, bantuan awal pengajian, bantuan pengangkutan ke sekolah dan program asrama desa.

YBR ujar beliau, akan terus memberi sokongan bagi meningkatkan pembangunan modal insan di Sabah khususnya di kalangan pelajar melalui bidang pendidikan.

Untuk makluman, sepanjang tahun 2024, YBR telah memperuntukkan sebanyak RM20.4 juta bagi program pembangunan pendidikan dan pembangunan masyarakat di seluruh negara.

Melalui bantuan awal pengajian dan bantuan persekolahan sahaja, seramai 30,572 murid dan pelajar IPT serta 226 sekolah telah menerima manfaat daripada inisiatif itu. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *