ROM – Lebih 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) hilang, dipercayai maut, berhampiran Lampedusa, Itali, selepas bot dinaiki mereka dari Sfax, Tunisia terbalik akibat ribut.
Menurut sebuah pertubuhan yang membantu misi menyelamat PATI di Mediterranean, Compass Collective, maklumat itu diperoleh daripada seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang terselamat.
Katanya, kanak-kanak itu ditemui awal pagi semalam kira-kira jam 2.20 pagi (0120 GMT) oleh Kapal Trotamar III milik mereka.
“Kami menganggap dia adalah satu-satunya yang terselamat daripada kejadian itu manakala 44 mangsa lain lemas.
“Kanak-kanak itu berasal dari Sierra Leone, terapung di laut selama tiga hari menggunakan dua jaket keselamatan buatan sendiri daripada tiub tayar yang diisi udara dan satu jaket keselamatan biasa,” katanya.
Sementara itu, doktor yang merawat mangsa, Mauro Marino, berkata kanak-kanak itu dipercayai berada di laut selama lebih 12 jam dan kini berada di hospital bagi tujuan rawatan.
“Mangsa tidak mempunyai bekalan air minuman atau makanan dan mengalami hipotermia, tetapi masih responsif dan sedar,” katanya.
Sementara itu, agensi berita Itali ANSA melaporkan bahawa bot pengawal pantai dan polis sedang cuba mencari lokasi bot yang karam itu sejak semalam.
“Mereka masih belum menemui mayat atau sebarang bukti,” lapor ANSA.
Sehingga kini, 2,050 PATI lemas atau hilang tahun ini ketika cuba menyeberangi laluan Mediterranean Tengah, yang dikenali sebagai laluan paling berbahaya di dunia.
Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) melaporkan bahawa banyak kes kapal karam tidak direkodkan kerana bot yang mengalami kecemasan hilang tanpa ada mangsa yang terselamat.
Sejak 2014, lebih 17,000 kematian dan kehilangan direkodkan di kawasan terbabit oleh IOM. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252
