Baldatun Thauuibatun gagal dilaksanakan Pas di Kelantan

LKIM lancar Pasar Nelayan NEKMAT di bandar

KUALA LUMPUR – Sebuah pasar nelayan dibuka di Bandar Taman Bukit Cheras di sini, semalam, bagi membolehkan nelayan memasarkan hasil tangkapan terus kepada pengguna.

Pasar Nelayan NEKMAT itu dirasmikan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil yang bertujuan memberi peluang kepada nelayan memperbaiki taraf hidup.

Dalam ucapan perasmian, beliau berkata, Pasar Nelayan NEKMAT itu akan terus beroperasi untuk memenuhi keperluan nelayan tempatan, selain memastikan bekalan ikan yang berterusan dan mapan kepada masyarakat.

“Program ini dimulakan untuk membantu nelayan menambah baik aktiviti tangkapan mereka dan meningkatkan ekonomi golongan nelayan, di samping memperkenalkan konsep pasar nelayan berkonsepkan bandar dengan harga berpatutan.

“Pasar ini juga untuk memperkukuhkan rantaian bekalan ikan di negara ini sebagai sumber protein utama,” katanya.

Menurut Muhammad Faiz, pasar nelayan itu akan memberikan kemudahan kepada nelayan tempatan untuk memasarkan hasil tangkapan secara terus kepada pengguna dengan harga yang lebih rendah dan berpatutan.

“Konsep pasar nelayan ini tidak hanya memberi manfaat kepada nelayan, tetapi juga kepada penduduk sekitar dapat membeli hasil laut segar dengan harga lebih berpatutan.

“NEKMAT terus komited dalam membantu golongan nelayan melalui pelbagai program dan aktiviti, termasuk penyertaan dalam Jualan Madani & Rahmah, yang dianjurkan kementerian dan agensi selain Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

“Ini sebahagian daripada usaha untuk membantu meringankan beban golongan nelayan serta memastikan kebajikan mereka sentiasa terjaga,” kata beliau.

Jelas beliau lagi, bagi menyambut pembukaan pasar nelayan itu, NEKMAT turut mengadakan jualan promosi yang menawarkan pelbagai jenis ikan segar, sotong dan udang pada harga berpatutan.

Katanya, beberapa tawaran menarik sempena majlis perasmian itu disediakan, antaranya diskaun 15 hingga 30 peratus untuk pelbagai produk hasil laut; ikan kerapu dijual pada harga RM10 seekor; harga runtuh semasa Happy Hour; vaucer RM15 untuk belian barangan di Pasar Nelayan NEKMAT; dan promosi produk hasil perikanan jenama ENNA dengan harga RM7 (satu pek), RM12 (dua pek) dan RM15 (tiga pek) dengan 400g per pek.

Jelas beliau, dengan tema ‘Dari Nelayan Terus Ke Dapur’, jualan promosi itu adalah untuk memberi peluang kepada rakyat mendapatkan ikan segar pada harga berpatutan dan terus dari nelayan ke meja makan mereka.

“Program ini juga berharap dapat meningkatkan pendapatan nelayan dan mempertingkatkan taraf hidup mereka.

“NEKMAT berharap usaha ini dapat terus berkembang dan memberi impak positif kepada komuniti nelayan serta masyarakat setempat.

“Melalui inisiatif ini, diharap ekonomi nelayan dapat diperbaiki, dan bekalan makanan negara terus terjamin dalam apa jua keadaan,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *