JERTEH – Tiada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berdaftar bawah Kementerian Pendidikan (KPM) terkandas untuk menduduki ujian lisan bahasa Melayu yang bermula hari ini akibat banjir.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, pihaknya akan menyiasat laporan yang mendakwa terdapat calon SPM 2024 yang masih tidak dapat keluar dari kawasan banjir.
“Saya dah minta supaya Pengarah Pendidikan Negeri untuk melihat status yang dilaporkan di media dan difahamkan kemungkinan ia bukan calon di bawah KPM.
“Tetapi kita akan sentiasa bersama dengan pihak-pihak terlibat untuk membantu memastikan supaya anak-anak tidak dikesampingkan bagi menduduki ujian lisan bahasa Melayu,” katanya pada Isnin.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membuat tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payong di sini.
Azman menambah tinjauan di tiga negeri yang dilanda banjir teruk iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah juga mendapati proses pemindahan calon-calon SPM ke asrama yang ditetapkan berjalan lancar.
Terdahulu, media melaporkan masih terdapat calon SPM 2024 yang didakwa terkandas dan menunggu bantuan untuk dibawa keluar bagi menduduki ujian lisan bahasa Melayu yang bermula hari ini sehingga 5 Disember.
Semalam, Menteri Pendidikan Fadlina Sidek memberi jaminan semua calon SPM termasuk pelajar di institusi yang tidak berada di bawah seliaan kementerian itu akan diselamatkan seterusnya dibawa ke asrama bagi menjalani peperiksaan tersebut.
Seramai 402,956 calon berdaftar akan menduduki peperiksaan SPM 2024 yang bermula 2 Disember sehingga 6 Februari 2025.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252