KOTA BHARU – Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini, membenarkan permohonan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memindahkan perbicaraan kesnya di Mahkamah Sesyen Gua Musang ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Hakim Azmi Abdullah membuat keputusan itu berkaitan dengan tuduhan menyebut perkataan menghasut mantan Perdana Menteri itu ketika kempen PRK Nenggiri Ogos lalu.
Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin berkata, antara alasan dibentangkan pihaknya adalah terdapat isu-isu perundangan rumit dan kesulitan luar biasa yang dijangka timbul, khususnya berkaitan dengan isu keperlembagaan beberapa peruntukan Akta Hasutan 1948.
“Kes ini melibatkan mantan perdana menteri dan mendapat liputan media yang meluas serta berkepentingan awam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada 4 November lalu, barisan peguam Muhyiddin mengemukakan permohonan memindahkan perbicaraan kes dihadapinya di Mahkamah Sesyen Gua Musang ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu.
Sebelum ini, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen PRK Nenggiri di Dewan Semai Bakti Felda Perasu pada 14 Ogos lalu.
Kenyataan menghasut itu berkenaan dakwaan beliau tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong selepas PRU15 untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen pada masa itu.
Beliau didakwa melakukan kesalahan bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama dengan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252