BERITA UTAMA
9,868 mangsa banjir di 89 PPS Kelantan

9,868 mangsa banjir di 89 PPS Kelantan

PETALING JAYA – Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 9,868 orang sehingga jam 3 petang ini berbanding 3,844 orang pagi tadi.

Harian Metro melaporkan, semua mangsa daripada 3,020 keluarga itu ditempatkan di 89 pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu Pasir Mas (16), Kuala Krai (15), masing-masing 14 di Tanah Merah, Pasir Puteh dan Kota Bharu, Machang (enam), Bachok dan Jeli masing-masing empat keluarga serta dua di Tumpat.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, jumlah mangsa banjir paling ramai di Pasir Mas iaitu 2,290 orang daripada 734 keluarga.

Ia diikuti Pasir Puteh (1,605 orang daripada 530 keluarga), Kota Bharu (1,570/484), Kuala Krai (1,347/402), Tanah Merah (815/255), Tumpat (691/186), Bachok (600/148), Jeli (544/146) dan Machang (406/135).

Sementara itu, pekan Rantau Panjang hampir lumpuh selepas laluan utama ditenggelami air.

Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat berkata, kenderaan berat masih boleh memasuki Rantau Panjang setakat jam 1 tengah hari tadi.

“Saya akan memantau balik situasi dan perkembangan semasa keadaan di kawasan tersebut,” katanya.

Walaupun situasi banjir di Kelantan masih terkawal, beliau menasihatkan penduduk di kawasan rendah berpindah awal jika rumah mereka dinaiki air.

Ini kerana katanya, pasukan penyelamat sukar memindahkan mereka ke pusat pemindahan sementara jika air mulai deras dan semakin tinggi. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *