BERITA UTAMA
Isu siapa calon PM PN tidak perlu dipolemik - Tuan Ibrahim

Isu siapa calon PM PN tidak perlu dipolemik – Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Isu siapa bakal mengetuai Perikatan Nasional (PN) dan calon Perdana Menteri tidak perlu dijadikan polemik.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, topik seperti itu tidak menjadi keutamaan dalam kalangan pimpinan gabungan itu untuk dibincangkan.

“Bahkan dalam kalangan pimpinan Majlis Tertinggi (MT) PN, isu ini tidak pernah dibincangkan baik dalam atau luar mesyuarat.

“Kami percaya dan bertekad bahawa masa sekarang adalah masa memperkukuhkan parti, mendekati dan memperjuangkan nasib bagi membela rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengesyorkan Tan Sri Muhyiddin Yassin calon tunggal jawatan perdana menteri PN pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Bagaimanapun Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin menegaskan, parti itu lebih layak memimpin PN sekali gus menolak cadangan supaya Muhyiddin kekal sebagai calon Perdana Menteri gabungan berkenaan.

Bekas Pesuruhjaya Pas Perlis itu juga berkata, Pas layak memimpin kerana wakilnya paling ramai di Dewan Rakyat dalam PN yang diterajui Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dan mempunyai jentera akar umbi kuat di seluruh negara.

Pada Sabtu, Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar mendakwa PN mungkin agak gelojoh mengumumkan calon Perdana Menteri gabungan parti memandangkan tiada sebarang perbincangan di mana-mana peringkat untuk PRU akan datang.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim meminta komponen PN mencari jalan memperbanyakkan cawangan, keahlian dan program bersama rakyat.

“Biarlah perkara yang melibatkan polisi parti dibincang dan diteliti oleh pimpinan.

“Usah kita mendahului masa, kerana apabila tiba masanya, pasti perkara ini akan dibincangkan.

Tambahnya, PN meletakkan keutamaan sekarang untuk mengekalkan dan menambah sokongan rakyat.

“Tidak perlu kita membuang masa kepada perkara yang tidak menjadi keutamaan buat masa ini.

“Dalam masa yang sama, PN akan memberi fokus persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah yang dijangka akan diadakan pada tahun hadapan.

“Kita bersedia mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak bagi menghadapi PRN akan datang,” ujar beliau.

Tambah Tuan Ibrahim, Pas yakin dengan kepimpinan Bersatu yang baru selesai mengadakan pemilihan.

“Saya pasti ia akan menyemarakkan semangat PN untuk terus fokus bagi merangka strategi yang berkesan untuk rakyat Sabah, yang telah memberi mandat dalam PRN yang lalu,” katanya lagi.

Beliau turut mendakwa rakyat semakin tertekan berada di bawah pemerintahan kerajaan yang tidak malu untuk memungkiri janji dan manifesto mereka.

Menurutnya lagi, rakyat terhimpit dengan isu kenaikan kos sara diri serta penarikan subsidi.

“Rakyat masih menaruh kepercayaan kepada kami untuk memimpin negara ini semula berdasarkan kepada rekod lampau kami sebagai kerajaan.

“Kita tidak mempunyai masa untuk berbincang mengenai perkara ini dan menghampakan rakyat yang terhimpit dengan pelbagai isu,” jelasnya. 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *