BERITA UTAMA
Dakwaan iktiraf Israel: Jangan tunggang agama, tabur fitnah, perbodoh rakyat - Anwar

Dakwaan iktiraf Israel: Jangan tunggang agama, tabur fitnah, perbodoh rakyat – Anwar

LIMA (Peru) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan sesetengah pihak yang memfitnah beliau berhubung isu Israel, menyifatkannya sebagai tindakan tidak bertanggungjawab dan memperbodoh rakyat.

Ketika menjelaskan pendirian Malaysia, Anwar menegaskan bahawa negara ini tidak mengiktiraf Israel secara ‘de jure’, meskipun keberadaan negara itu di peringkat antarabangsa adalah fakta ‘de facto’.

“Kalau orang tanya, apakah wujudnya Israel? Ia wujud. ‘Malaysia tidak iktiraf’, maknanya, tidak hantar pegawai kedutaan, tidak ada hubungan diplomatik. Itu maksudnya,” kata Anwar.

Beliau turut menegaskan bahawa semasa berada di Riyadh, beliau mengusulkan agar Israel disingkirkan dari keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), satu langkah yang mencerminkan pendirian tegas Malaysia terhadap dasar penindasan Israel terhadap rakyat Palestin.

Sehubungan itu, Anwar menolak dakwaan bahawa beliau mengiktiraf Israel, menyifatkan tuduhan tersebut sebagai fitnah yang diangkat atas nama agama.

“Politik apa macam ni? Memperbodoh rakyat, menipu, memfitnah atas nama Islam. Ini yang disebut penunggang-penunggang agama, yang tak reti nak ulas,” katanya.

Beliau juga membidas pihak yang menyerangnya dengan mengambil kenyataan beliau di luar konteks, sambil menekankan bahawa pendiriannya jelas mengutuk keganasan dan kezaliman Israel.

Do you accept the existence of the state of Israel? Yes. Do you believe therefore the state can defend itself? Yes. Tapi yang kita tentang ini apa? Keganasan, kezaliman, penjajahan negara Israel ke atas rakyat Palestin,” katanya.

Beliau menegaskan perkara itu dalam sidang media bersama media Malaysia seiring lawatan rasmi ke Lima, Peru bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM).

Mengulas lanjut, Anwar turut mempersoalkan tindakan parti pembangkang semasa mereka memerintah, mendakwa bahawa kapal Israel pernah dibenarkan berlabuh di Pelabuhan Klang selain pesawat Israel menggunakan laluan udara Malaysia.

“Masa kita perintah, ada tak kita izinkan Israel berdagang? Tidak. Apakah kita izinkan pesawat Israel guna ruang udara kita? Tidak,” tegasnya.

Namun, Anwar menyatakan kesediaannya untuk bergerak ke hadapan dan memberi fokus kepada isu-isu semasa.

“Saya sudah tutup cerita itu, kita maju ke depan. Sudahlah yang dulu. Tetapi mereka tidak, mereka terus menipu dan menghasut,” katanya.

Dalam AELM di Lima, Anwar menyatakan bahawa Malaysia adalah satu-satunya negara yang mengangkat isu penindasan terhadap Palestin, meskipun forum tersebut tertumpu kepada ekonomi dan perdagangan.

“Bagaimana (hendak mewujudkan) ekonomi dan perdagangan bebas kalau ia menafikan satu pihak?” soal Anwar, menunjukkan komitmen Malaysia terhadap keadilan sejagat.

Beliau berharap penjelasan tersebut dapat menghilangkan kekeliruan rakyat dan mengajak semua pihak untuk mengelakkan politik fitnah yang hanya memecahbelahkan masyarakat.

Wawancara Anwar bersama agensi media antarabangsa CNN tular baru-baru ini apabila ada pihak mendakwa Malaysia seolah-olah mengiktiraf negara haram Israel.

Dakwaan itu dikatakan banyak datang daripada pembangkang dengan ia turut dibangkitkan di sidang Parlimen menerusi Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *