KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 19 Dis ini untuk memutuskan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor bagi membatalkan pertuduhan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai terhadapnya.
Hakim K. Muniandy menetapkan tarikh keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada peguam Rosmah, Amer Hamzah Arshad dan Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin serta pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.
Rosmah memfailkan permohonan pada 4 Okt 2020 dan perbicaraan dimulakan pada 12 Dis tahun lalu selepas sebahagian kes didengar dengan dua saksi telah memberi keterangan.
Terdahulu, Ahmad Akram menyangkal dakwaan peguam Rosmah bahawa pertuduhan yang dihadapi oleh isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak itu cacat kerana terlalu banyak dengan alasan kedua-duanya berkaitan dengan perkara yang sama.
Secara khususnya, dana yang dimasukkan ke dalam akaun tertuduh. Hujah ini, bagaimanapun, gagal mengiktiraf prinsip asas undang-undang yang mengawal cara pertuduhan dirangka dalam prosiding jenayah.”
“Pertuduhan yang dipersoalkan tidak berlebihan mahupun cacat kerana terlalu banyak. Sebaliknya, ia menggambarkan tindakan jenayah yang berbeza, setiap satunya berlaku pada masa berlainan dan setiap satu memerlukan pertuduhan berasingan untuk menangani sepenuhnya skop tingkah laku tertuduh,” katanya.
Ahmad Akram berkata jika pihak pendakwaan menggabungkan pertuduhan ini, ia akan mengabaikan nuansa kesalahan yang didakwa dan menjejaskan keperluan undang-undang untuk dakwaan yang tepat dan berasingan bagi setiap perbuatan salah laku.
Sementara itu, Amer Hamzah berhujah bahawa pertuduhan-pertuduhan tersebut adalah cacat dan tidak baik dari segi undang-undang dan anak guamnya harus dibebaskan.
Ahmad Akram bagaimanapun membalas hujahan itu dengan berkata perkara yang dibangkitkan oleh pembelaan adalah pramatang untuk dipertimbangkan kerana ia adalah perkara yang perlu dipertimbangkan semasa perbicaraan untuk hakim menentukan.
“Penentuan sama ada pertuduhan dibuktikan hendaklah dibuat pada akhir kes pendakwaan, bukan sekarang. Bukti harus didengar terlebih dahulu,” kata Ahmad Akram.
Pada 4 Okt 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah terhadap 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) antara 2013 hingga 2018.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.
Bagi pertuduhan berkaitan LHDN pula, dia didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014 bagi tahun taksiran 2014 hingga 2018.
Rosmah didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 tanpa sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252