BERITA UTAMA
PM Israel mengaku bertanggungjawab terhadap letupan alat kelui besar-besaran di Lubnan

PM Israel mengaku bertanggungjawab terhadap letupan alat kelui besar-besaran di Lubnan

TEL AVIV – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Ahad mengaku bertanggungjawab buat kali pertama ke atas letupan alat kelui besar-besaran yang menggegarkan Lubnan hampir dua bulan lalu, menurut Agensi Anadolu.

“Terdapat pegawai kanan dalam pentadbiran pertahanan dan eselon politik yang bertanggungjawab terhadap mereka yang menentang operasi alat kelui serta penghapusan [pemimpin Hizbullah] Hassan Nasrallah,” kata Netanyahu semasa mesyuarat Kabinet pada Ahad seperti yang dipetik oleh Channel 12 Israel, lapor Agensi Anadolu.

“Sebelum operasi alat kelui, mereka memberitahu saya bahawa Amerika Syarikat akan menentangnya, tetapi saya tidak mendengar mereka,” tambahnya.

Ini adalah kali pertama seorang pegawai tinggi Israel secara terbuka mengaku bertanggungjawab ke atas letupan besar-besaran peranti komunikasi tanpa wayar di Lubnan.

Sekurang-kurangnya 26 orang terbunuh dan lebih 3,200 yang lain cedera apabila ribuan alat kelui meletup di beberapa kawasan di Lubnan pada 17 dan 18 Sept.

Nasrallah dibunuh dalam serangan udara Israel di selatan Beirut pada 27 Sept.

Serangan udara Israel di Lubnan telah berlangsung sejak akhir September, dengan alasan menyasarkan kedudukan Hizbullah, peningkatan dalam serangan rentas sempadan selama setahun sejak konflik Gaza bermula.

Lebih 3,100 orang terbunuh dan lebih 13,800 yang lain cedera dalam serangan Israel sejak Okt 2023, menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan.

Israel melancarkan serangan darat ke selatan Lubnan pada 1 Okt. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *