Oleh: Ku Syafiq Ku Fozi
MENULIS merupakan kerja yang relevan sepanjang zaman.
Selama ribuan tahun, manusia menulis untuk menyampaikan maklumat, idea dan merakam sejarah. Kini, pelbagai kerjaya dikhususkan untuk mereka yang menulis.
Kerjaya sebagai penulis boleh menjanjikan kestabilan kerana permintaan terhadap penulisan sentiasa wujud. Baik sebagai wartawan, penulis karya kreatif mahupun penulis kandungan, jika anda menulis dengan baik, akan ada rezeki yang hadir untuk setiap kata yang ditulis.
Persoalannya, bagaimana mahu menulis dengan baik?
Seorang Bapak bernama Samad
Abdul Samad Muhammad Said lahir di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka pada 9 April 1935.
Lebih dikenali sebagai A. Samad Said, beliau menerima Anugerah Sastera Negara yang membawa gelaran Sasterawan Negara pada 1985.
Hampir sepenuh usia Pak Samad diabadikan untuk menulis. Beliau pernah bekerja sebagai kerani sebelum memulakan kerjaya sebagai wartawan di akhbar Fikiran Rakyat, Utusan Melayu dan Berita Harian.
Jawatan terakhirnya adalah sebagai Ketua Pengembangan Sastera dalam kumpulan akhbar New Straits Times sebelum bersara dan menjadi penulis sepenuh masa.
Pak Samad pernah menghasilkan pelbagai karya besar, termasuk novel Salina, Hujan Pagi, Langit Petang dan Daerah Zeni.
Portfolionya sasteranya juga luas. Semua genre sudah dikuasai dengan jumlah karya yang prolifik, termasuk novel, puisi, cerpen, drama dan esei.
Kumpulan esei Pak Samad kurang diberi perhatian tetapi ia penting. Tangan Yang Simpatik, Antara Bulan Dan Wira serta Ilham Di Tepi Tasik antara yang pernah diterbitkan.
Dalam Ilham Di Tepi Tasik, beberapa esei ditulis untuk merungkai petua menulis. Berikut petua yang boleh diambil perhatian jika anda berminat melanjutkan kerjaya sebagai penulis.
Alam di sekitar
Pak Samad memetik kisah pemenang Anugerah Nobel untuk Sastera, Ernest Hemingway yang berhijrah ke Eropah selepas merasakan Amerika Syarikat tidak lagi membuahkan ilham untuk kerja penulisannya. Begitu juga Arena Wati yang berasal dari Indonesia tetapi berkarya di Malaysia.
Ketika menulis Cinta Fansuri, Pak Samad menyerap ilham alam dan aneka etnik di Sarawak.
Apa yang mahu disampaikan, latar tempat memainkan peranan dalam kerja penulisan. Seorang penulis perlu cerdas menyerap pengaruh persekitaran menjadi ilham.
Begitu juga, persekitaran yang tidak membantu perlu dijauhi, seperti yang dibuat Hemingway dan Arena Wati. Seorang penulis perlu selalu cergas otaknya dengan bual bersama manusia lain, malah perlu ada kebebasan untuk menulis jujur.
Jika persekitaran menyekat, cari persekitaran baharu yang lebih menggalakkan daya cipta.
Hati yang peka
Kata Pak Samad, “Seniman berpijak pada bumi hati nurani lebih daripada bumi ideologi”.
Ada orang menulis untuk kerjayanya semata-mata, maka tak banyak unsur seni yang dimasukkan.
Namun, untuk mereka yang menulis dengan seni, yang menganggap setiap hasil penulisannya sebuah karya (walaupun sekadar menulis laporan berita dan ayat iklan), penerokaan hati menjadi mustahak.
Maka, tak cukup sekadar mengumpul maklumat dalam otak. Seorang penulis perlu ada pegangan moral dan kejernihan hati.
Pegangan moral yang teguh dan hati yang jernih akan melahirkan kepekaan yang datang dari hati. Dengan itu, penulisan jadi berkompas.
Penulis akan lebih sensitif pada persekitaran dan ketidakadilan yang berlaku di sekitarnya. Lebih banyak ilham dapat diserap dan lebih banyak pula hal yang boleh ditulis.
“Dan seniman, saya percaya, mempunyai tanggungjawab untuk memerhatikan kepincangan-kepincangan seperti itu.
“Hati nuraninya perlu sentiasa dimatlamatkan kepada perjuangan untuk mengurangi kepincangan dan menambahkan martabat insan,” kata Pak Samad.
Baca, baca, baca, baca, kemudian tulis
“Jika ingin menjadi seorang penulis pertama sekali kena membaca, kedua kena membaca, ketiga membaca, keempat membaca dan kelima baru menulis”.
Itu pesan tuntas Pak Samad kepada sesiapa sahaja yang mahu menulis. Empat kali baca baru menulis.
Kata beliau dalam Ilham Di Tepi Tasik, sejak dekad 1950-an telah ditekankan bahawa sebuah karya tidak mudah ditulis sebaiknya tanpa penulis menghayati karya-karya agung terlebih dahulu.
Fyodor Dostoyevsky dan Osamu Dazai antara penulis yang menjadi kegemaran Pak Samad.
Konteks itu juga boleh dikembang kepada bidang penulisan di luar sastera.
Menulis politik tanpa usaha mengenal Francis Fukuyama, Niccolo Machiavelli dan Plato pastilah bermasalah. Penulis ekonomi yang tak pernah cuba berkenalan dengan Karl Marx, Adam Smith dan Thomas Piketty sukar mahu menulis dengan baik.
Maka, buat mereka yang bercita-cita menjadi penulis, budaya membaca perlu dipupuk sejak awal. Cuba berkenalan dengan penulis dan karya agung mereka.
Perlahan-lahan bina tabiat membaca untuk mengutip maklumat, menghayati ilmu dan memahami aneka perspektif manusia.
Penulis yang kaya maklumat, ilmu dan perspektif mampu menulis dengan baik, malah kemahiran menulisnya takkan dapat diganti robot atau kecerdasan buatan. – RELEVAN
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252