BERITA UTAMA

Sepanyol panggil tiga muka baharu

MADRID: Pengendali Sepanyol, Luis de la Fuente memanggil tiga pemain baharu dalam skuadnya bagi menghadapi perlawanan Liga Negara-Negara menentang Switzerland dan Denmark.

Pemain muda Samu Omorodion, Marc Casado, dan Aitor Paredes kini berpeluang mencipta nama di pentas antarabangsa ketika Sepanyol bersedia untuk mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju kumpulan.

Omorodion, yang baru berusia 20 tahun, menjadi perhatian utama selepas menunjukkan prestasi luar biasa bersama Porto dalam Liga Europa apabila meledak empat gol yang menjadikannya penjaring terbanyak kejohanan itu.

Dia dijangka menjadi watak penting buat Sepanyol berikutan kecederaan kapten , Alvaro Morata, yang dimasukkan ke hospital di Milan selepas mengalami kecederaan kepala dalam sesi latihan minggu ini.

Selain Omorodion, Casado, pemain tengah utama Barcelona yang kini berusia 21 tahun, turut diberi peluang selepas menunjukkan persembahan konsisten dalam kempen La Liga musim ini.

Pemain pertahanan tengah Athletic Bilbao, Aitor Paredes melengkapkan senarai pemain baharu yang dipanggil sekali gus berpeluang menimba pengalaman berharga pada usia 24 tahun.

Bagaimanapun, Sepanyol terpaksa mengetepikan beberapa pemain utama yang mengalami kecederaan.

Penjaga gol utama, Unai Simon, masih belum pulih daripada kecederaan yang menghalangnya beraksi untuk Athletic Bilbao musim ini.

Lebih memeritkan, pemenang Ballon d’Or, Rodri, tidak dapat bersama pasukan selepas menjalani pembedahan lutut dan berkemungkinan terlepas baki musim ini.

Dalam satu kenyataan video, De la Fuente turut menyatakan sokongannya terhadap mangsa-mangsa banjir yang melanda Sepanyol baru-baru ini, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 219 nyawa dan mengakibatkan 93 orang hilang.

“Dunia bola sepak tidak akan mengecewakan anda. Kami tidak akan mengecewakan anda. Kami akan berjuang untuk anda semua,” katanya.

Sepanyol yang kini mendahului kumpulan A4 Liga Negara-Negara, sudah mengesahkan tempat ke suku akhir dan akan beraksi menentang Denmark di Copenhagen pada 15 November sebelum kembali ke Tenerife untuk berdepan Switzerland tiga hari kemudian. – AFP

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *