KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan menubuhkan pasukan petugas khas (Special Taskforce) dan menggantung serta-merta operasi bas terbabit dalam insiden renjatan elektrik sehingga meragut nyawa seorang remaja lelaki di Pulau Pinang kelmarin.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pasukan petugas khas ini terdiri daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).
Menurutnya, beliau telah mengarahkan APAD untuk segera menggantung operasi bas yang terlibat bagi membolehkan siasatan lanjut oleh JPJ.
“Kementerian Pengangkutan memandang serius insiden renjatan elektrik yang mengorbankan seorang remaja ketika mengecas telefon dalam bas ekspres yang dinaikinya.
“Saya telah mengarahkan APAD untuk menggantung operasi bas yang terbabit serta merta untuk siasatan lanjut oleh pihak JPJ.
“Satu pasukan petugas khas (Special Taskforce) yang terdiri daripada JPJ, APAD dan MIROS juga akan diaktifkan untuk menyiasat punca insiden tersebut untuk memastikan insiden seperti ini tidak berulang dan keselamatan penumpang sentiasa terjamin.
“Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya dipetik Berita Harian di Facebook rasminya, hari ini.
Dalam kejadian kelmarin, seorang remaja lelaki maut dengan tangan kirinya melecur akibat terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbitnya di soket bas ekspres dalam kejadian di Terminal bas Penang Sentral, Butterworth, Pulau Pinang.
Dalam kejadian jam 6 petang itu mangsa, Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, ketika itu menaiki bas berkenaan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman dilaporkan berkata, insiden itu disedari penumpang lain sebelum kejadian dilaporkan kepada polis oleh pemandu bas berusia 36 tahun jam 7.40 malam. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252