IPOH – Penyandang Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menerima dengan hati terbuka sebarang keputusan pemilihan parti yang bakal diumumkan hari ini, sama ada menang jawatan Naib Presiden atau sebaliknya.
Menurut Ketua BERSATU Bahagian Tambun itu, jika ditakdirkan tersingkir daripada jawatan tinggi parti, beliau tetap akan menyumbang tenaga bagi memperkuat gerak kerja parti di peringkat Bahagian Tambun dan Perak.
Ahmad Faizal berkata, setiap enam calon yang bertanding naib presiden mempunyai peluang sama rata, namun paling penting, setiap calon perlu meneruskan usaha untuk memberi khidmat bakti kepada parti dalam apa jua kapasiti.
“Secara jujur, orang kata… tahniah Peja, terima kasih kerana berjiwa besar, tak pernah ada orang macam ni, ketua kampung pun susah nak lepaskan jawatan inikan pula timbalan presiden.
“Tapi bila masanya saya tengok daripada pagi tadi (semalam), bila keputusan mula keluar saya tengok rupanya susah menang naib presiden.
“Jadi saya nak minta kalaulah ditakdirkan saya tak terpilih, saya nak minta keluarga besar Tambun kita ‘chill’ saja, kita tenang, tiada masalah,” katanya semasa berucap merasmikan Persidangan BERSATU Bahagian Tambun, di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini, malam tadi.
Sebelum ini Ahmad Faizal dilaporkan bersedia berundur daripada jawatan Timbalan Presiden BERSATU untuk memberi ruang kepada penyandang jawatan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Pada Pemilihan BERSATU bagi penggal 2024-2027, Ahmad Faizal berentap dengan lima lagi calon bagi jawatan Naib Presiden iaitu A’ziss Zainal Abidin, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, Datuk Razali Idris dan Mohd Rafiq Abdullah.
Ketika ditemui di luar persidangan, bekas Menteri Besar Perak itu menjelaskan beliau berharap pemilihan parti tidak mengakibatkan perpecahan dalam kalangan ahli parti.
“Apa yang kita lakukan ialah untuk memperkuatkan parti. Jangan pula kita tewas, kita melemahkan parti.
“Jadi, niat awal nak menguatkan itu teruskan, apa jua keputusan terima dengan baik.
“Saya tak jadi Menteri Besar pun saya terima dengan hati terbuka, inikan pula jawatan ini (Naib Presiden BERSATU),” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252