Masih amal perubatan jarak jauh, JAIM buru Tabib Adam

Masih amal perubatan jarak jauh, JAIM buru Tabib Adam

MELAKA – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) memburu pengasas pusat perubatan jarak jauh yang dikenali sebagai Tabib Adam bagi membantu siasatan berhubung aktiviti perubatan yang didapati menyeleweng daripada ajaran Islam.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Marimanberkata, lelaki terbabit gagal dikesan selepas sepasukan penguat kuasa JAIM bersama beberapa agensi keselamatan menyerbu ke premis perubatan itu di Kampung Lekok Masjid Tanah, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata, operasi itu dijalankan selepas pihaknya menerima aduan awam mengenai Pusat Perubatan Adam yang masih beroperasi walaupun sudah difatwakan sesat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri.

“Pemeriksaan dan penggeledahan dilaksanakan ke atas pusat rawatan, tempat menjual ubat, rumah kediaman termasuk di kawasan halaman rumah serta bangunan.

“Ketika operasi dijalankan, pusat rawatan dan tempat jualan ditutup selain pemeriksaan juga tidak menemui lelaki terbabit serta isterinya, malah usaha pegawai penguat kuasa menghubungi mereka juga gagal.

“Justeru, pengasas pusat rawatan itu diminta supaya memberikan kerjasama dengan datang sendiri ke JAIM bagi tujuan membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan pasangan itu boleh terus menghubungi JAIM di talian 017-2661280,” katanya.

Rahmad berkata, selain dua wanita yang juga pekerja di pusat rawatan itu, dua anak Tabib Adam turut berada di premis ketika serbuan dijalankan.

Katanya, turut ditemui dan dirampas dalam operasi berkenaan adalah papan tanda di pintu gerbang, buku resit, ubat-ubatan serta risalah berkaitan produk kesihatan.

“Tangkapan dibuat ke atas kedua-dua pekerja wanita yang berusia 38 dan 44 tahun kerana disyaki melakukan aktiviti perubatan yang dikaitkan dengan Tabib Adam.

“Bagaimanapun, anak lelaki dan perempuan mereka di perintah untuk hadir ke pejabat JAIM bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 kerana menghina agama Islam dengan mengingkari atau melanggar fatwa yang diwartakan di negeri ini.

Sebelum ini, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka memutuskan amalan dan aktiviti perubatan Pusat Perubatan Islam Jarak Jauh Sunan Kalijaga atau Pusat Terapi atau apa-apa nama amalan dan aktiviti perubatan Iain yang dikaitkan dengan Adam Isa dan pengikutnya didapati menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar kerana mengandungi unsur yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah dan syariah.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *