BERITA UTAMA
Nik Saiful Adli Burhan

Kenaikan gaji minimum bakal menutup peluang pekerjaan graduan baru

KOTA BHARU – Kenaikan gaji bukan menambah pendapatan pekerja semata-mata, tetapi menjadi faktor pengurangan tenaga kerja bagi industri kecil dan sederhana yang tidak mampu menambahkan kos perniagaan.

Timbalan Pengerusi Tetap Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Malaysia, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan berkata, mereka masih merasa kesan kenaikan gaji minimum RM1,500 yang dilaksanakan dengan melihat banyak pengurangan pekerja oleh syarikat bersaiz sederhana dan kecil.

Katanya, begitu juga kesan kepada belia dan graduan yang baharu memasuki pasaran pekerjaan.

“Dengan gaji RM1,700, majikan akan memilih pekerja yang berpengalaman dan terbukti mampu bekerja.

“Saya menjangkakan tiada lagi peluang dan percubaan untuk orang tiada pengalaman, anak muda dan graduan yang baharu menamatkan pengajian.

“Perjalanan industri bukanlah berasaskan retorik politik semata-mata kerana sokongan kepada dasar yang kedengaran indah tidak menjamin kelangsungan peluang pekerjaan dan ekonomi yang stabil,” katanya dalam kenyataan kepada media.

Hari ini, kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan daripada RM1,500 kini, berkuat kuasa 1 Februari tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.

“Kerajaan Madani sentiasa menitikberatkan soal pendapatan rakyat. Penstrukturan ekonomi hanya dianggap berjaya apabila rakyat meraih gaji dan upah yang bermakna untuk menjalani hidup dengan lebih selesa,” kata Anwar.

Nik Saiful berharap kerajaan perbanyakan program latihan ke arah industri serta menyediakan subsidi gaji kepada mana-mana majikan yang sedia menggaji pekerja tiada pengalaman, belia dan graduan bagi suatu tempoh tertentu bagi membolehkan mereka bersaing dalam pasaran pekerjaan yang semakin memilih.

Ujar Nik Saiful yang juga Ahli Majlis Perundingan Belia Negara Kelantan, meningkatkan persaingan di kalangan penganggur hanya akan memburukkan keadaan.

“Malaysia masih di peringkat negara sedang membangun, belum cukup maju. Belum tiba masanya kita meningkatkan pendapatan mendadak, tetapi akhirnya mengabaikan masalah pengangguran yang tidak pernah selesai. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *