BERITA UTAMA

SPRM akan siasat 20 projek disyaki berkait skandal MBI

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat 20 projek berkaitan kerajaan negeri yang dipercayai berhubung dakwaan skandal membabitkan Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI).

Bagaimanapun Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki enggan menamakan 20 projek berkenaan sebaliknya beliau berkata ia adalah projek yang mempunyai kepentingan kepada kerajaan negeri.

“Kita akan memeriksa (menyiasat) 20 projek yang kita dapat maklumat dikatakan ada membabitkan ‘corruption payment’ (rasuah).

“Sudah tentu (projek berkenaan) membabitkan kerajaan negeri kalau tidak membabitkan kerajaan negeri (ia) tidak menjadi perhatian saya sebab ia tidak akan menjadi rasuah.

“Kalau sekiranya projek ini kerajaan negeri ke kerajaan Persekutuan punya (kemudian) ada pihak yang mengambil kesempatan untuk mendapat habuan itu adalah satu kesalahan rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Meja Bulat Ketua Pesuruhjaya SPRM (RTD) Bersama Bank-Bank Komersial di sini, hari ini.

Azam berkata, pihaknya juga sedang melihat lima syarikat disyaki mempunyai saham membabitkan beberapa individu termasuk ahli politik yang dikaitkan dengan kes berkenaan.

“Kita sedang menyemak beberapa syarikat, setakat ini lima syarikat kerana dikatakan ada saham disimpan dalam syarikat itu. Ia membabitkan beberapa orang yang kita tahan dan suspek membabitkan ahli politik berkenaan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan SPRM menggeledah sebuah pangsapuri di sini yang didakwa dijadikan ‘safehouse’ seorang ahli politik berpengaruh dan menemui sejumlah mata wang asing berjumlah kira-kira RM5 juta.

Penggeledahan itu membawa kepada beberapa penggeledahan lain dan penemuan sejumlah wang selain penahanan beberapa individu bagi membantu siasatan lanjut.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *