BKCB, HPIG meterai MoU perkukuh tapak dalam sektir pembinaan, kejuruteraan di Malaysia  

BKCB, HPIG meterai MoU perkukuh tapak dalam sektor pembinaan, kejuruteraan di Malaysia  

PETALING JAYA – Bintai Kinden Corporation Berhad (BKCB) pakar perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E), pengeluar peranti perubatan dan pengendali kemudahan telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Henan Province Installation Group (Malaysia) Sdn. Bhd. (HPIG), anak syarikat Henan Province Installation Group Co. Ltd, China.

MoU yang ditandatangani anak syarikat milik penuhnya, Kejuruteraan Bintai Kindenko Sdn. Bhd. (KBK) itu akan memberi tumpuan kepada beberapa bidang utama, termasuk pembinaan bangunan komersial dan kediaman bertingkat tinggi, bangunan perindustrian, pusat data dan sub-stesen serta rangkaian pengagihan kuasa.

HPIG China membawa lebih enam dekad pengalaman dengan modal berdaftar CNY 1.5 bilion merupakan pakar dalam pelbagai sektor, termasuk bahan binaan, kerja kimia, petroleum, kuasa elektrik, jentera peleburan, elektronik dan perumahan pembinaan.

Kepakaran mereka melengkapkan rekod prestasi KBK di Malaysia, khususnya dalam pembinaan pencawang dan rangkaian pengagihan kuasa, menjadikan kerjasama ini gabungan mantap untuk meneruskan projek yang lebih besar di Malaysia.
 
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BKCB, Datuk Tay Chor Han berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan HPIG untuk mengembangkan kehadiran mereka dalam pasaran pembinaan dan kejuruteraan M&E Malaysia.

“Dengan pengalaman lebih 60 tahun HPIG dan rekod prestasi yang terbukti di China merentas pelbagai sektor, kami percaya kerjasama ini akan meningkatkan keupayaan untuk mendapat dan melaksanakan projek berskala besar. Perkongsian ini mengukuhkan kedudukan pasaran kami dan meningkatkan penawaran perkhidmatan kami, terutamanya dalam bidang pertumbuhan tinggi seperti pusat data dan bangunan perindustrian,” katanya di sini hari ini.

MoU itu menggariskan persefahaman bersama antara KBK dan HPIG untuk bekerjasama dalam menjamin projek masa depan dengan memanfaatkan kepakaran masing-masing dalam sektor pembinaan dan mekanikal dan elektrikal (M&E).

Chor Han berkata, MoU ini dijangka meningkatkan keupayaan BKCB untuk menyertai tender bagi projek yang lebih besar dan lebih kompleks, meletakkan syarikat sebagai pemain utama dalam sektor pembinaan dan kejuruteraan Malaysia.

“MoU ini datang pada masa yang tepat kerana Bintai Kinden meneruskan usahanya untuk keluar dari status Nota Amalan 17 (PN17), pada Mac 2023 disebabkan oleh cabaran kewangan.

“Syarikat sedang giat meneruskan rancangan penyusunan semula untuk menangani keadaan kewangannya, dan kerjasama strategik seperti dengan HPIG adalah sebahagian daripada usaha berterusannya untuk meningkatkan prestasioperasi dan meningkatkan penjanaan hasil,” ujarnya. – ND

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *