MALAYSIA ibarat dilanda ‘tsunami’ apabila baru-baru ini dan masih lagi hangat diperkatakan di beberapa saluran media berhubung tularnya kegiatan tidak bermoral sebuah pusat jagaan yang didakwa mempunyai kaitan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISB).
Rentetan dari isu itu, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dengan lantangnya menggesa agar pihak berwajib iaitu polis menjalankan siasatan secara menyeluruh lagi terperinci dengan kadar segera dan tanpa berkecuali walau seinci sekalipun.
Isu membabitkan kanak-kanak diliwat bukan suatu perkara yang harus dipandang enteng. Sebagai masyarakat bertamadun, hal seperti ini sewajarnya diberi pandangan serius oleh setiap lapisan pihak.
Adalah sesuatu yang amat memalukan dan merugikan dalam suasana negara kita yang makin moden serta menuju ke arah kemajuan taraf globalisasi ini, kita dihidangkan pula dengan isu seperti ini yang hadir mengeruhkan keadaan. Tidak masuk akal langsung!
Usah normalisasikan budaya seks cara binatang ini di kalangan manusia, apatah lagi kanak-kanak pada usia sementah demikian.
Kanak-kanak merupakan tiang utama yang bakal tumbuh sebagai tonggak dalam merancakkan lagi kemajuan negara dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi, sosial dan sebagainya pada masa-masa akan datang.
Adalah lebih molek, kemajuan ini berjalan seiring dengan pembentukan sikap positif yang harus dipupuk sejak dari awal lagi oleh kita selaku masyarakat sekeliling.
Kerajaan hendaklah mengambil tindakan yang tegas agar tiada siapa pun terkecuali daripada menerima hukuman yang berat sekiranya didapati bersalah dalam hal ini waima ahli kenamaan sekalipun yang turut berkait dengan isu ini sekiranya benar berlaku.
Ingatlah, andai kes seperti ini tidak ditangani dengan cepat dan secara adil, tidak mustahil ini merupakan ‘barah’ permulaan sebelum munculnya ‘penyakit-penyakit kronik’ yang lebih mencemaskan dalam masyarakat amnya serta kanak-kanak khususnya.
Kain putih itu ibarat anak-anak yang masih mentah, coraknya pula harus diwarnakan dengan seindah yang mungkin dan bukan disimbah hitam kegelapan lalu dibiarkan cacat pemandangannya.
Fikir-fikirkan akibatnya bukan sekarang tapi mungkin 20 tahun dari sekarang!!! Kesannya bukan sahaja pada anak-anak itu sendiri tetapi juga manusia sejagat serta negara juga. – ND
Penulis, Zarina Zainal Abidin adalah Ahli Dewan Tertinggi merangkap Pengerusi Biro Undang-undang, Anti Rasuah dan Integriti Parti Putra.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252