KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengarahkan semua hasil kajian dan perbincangan berkaitan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) dan rangkaiannya dibentangkan kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.
Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata pihaknya sudah memulakan kajian berhubung pembabitan GISBH dan rangkaiannya dalam penyebaran dan amalan ajaran yang menyeleweng daripada agama Islam sejak 2020.
Katanya, perkara berkenaan juga sudah dibincangkan secara serius dalam beberapa siri perbincangan dan mesyuarat di peringkat jawatankuasa MAIS sebelum tangkapan dan siasatan pihak polis terhadap penghuni di beberapa rumah amal dikaitkan dengan syarikat itu yang tular, baru-baru ini.
“Bagi memutuskan persoalan berhubung pembabitan GISBH dan rangkaiannya dalam penyebaran dan amalan ajaran menyeleweng daripada agama Islam sebenar, MAIS mengarahkan semua hasil kajian serta perbincangan dibuat sebelum ini dikemukakan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.
“Ia supaya persoalan berkaitan hukum syarak ini dapat diputuskan dengan segera oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor,” katanya melalui kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Ketua Pengarah JAKIM, Datin Hakimah Mohd Yusoff, memaklumkan tindakan ke atas GISBH sudah pun dimulakan pihaknya sejak Februari 2019.
Beliau memaklumkan hasil kajian dan dapatan berkenaan isu GISB susulan tindakan diambil pihaknya itu akan dibentangkan dalam Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Kebangsaan (MKI) dan mesyuarat Kabinet, seterusnya memohon perkenan Majlis Raja-Raja sebelum difatwakan di bawah bidang kuasa negeri bagi tujuan penguatkuasaan.
Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, hasil kajian mengenai GISBH juga merangkumi isu pembabitan kumpulan dalam ajaran Kumpulan Al-Arqam dan rangkaiannya yang sudah diharamkan menurut fatwa diwartakan di Selangor pada 4 Februari 1993, 11 Ogos 1994 dan 21 Disember 2006.
“Tindakan ini dibuat selaras dengan Seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
“MAIS menyatakan komitmen jitu untuk membanteras isu akidah termasuk penyebaran ajaran menyeleweng daripada ajaran Islam berleluasa di Selangor,” katanya.
Menurutnya, MAIS serta semua agensi hal ehwal Islam di Selangor sama sekali tidak berkompromi dengan GISBH, rangkaiannya atau mana-mana pihak lain terbabit dengan kesalahan akidah.
“Gerakan bersepadu antara semua agensi berkaitan akan diperhebat untuk memastikan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan jenayah itu mengikut undang-undang,” katanya.
Pada 10 September lalu, polis melalui Op Global dilapor menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia antara setahun hingga 17 tahun dipercayai dieksploitasi di 18 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dipetik berkata, hasil serbuan itu mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan kanak-kanak yang juga penghuni rumah amal terbabit.
Susulan kes itu, katanya, seramai 171 individu ditahan termasuk 105 wanita berusia 17 dan 64 tahun. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252