BERITA UTAMA
Karya Zulkefli Jais dipamerkan di Gwangju Biennale 2024

Karya Zulkefli Jais dipamerkan di Gwangju Biennale 2024

KUALA LUMPUR – Karya seniman muda Zulkefli Jais berjudul “Project Temporary Marking” dipamerkan di Asia Culture Center, Gwangju dan Korea Foundation Gallery, Seoul, Korea Selatan sempena Gwangju Biennale 2024 yang berlangsung hari ini hingga 1 Disember ini.

Balai Seni Negara dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan, penyertaan Zulkefli dalam acara seni berprestij itu pengiktirafan besar buat negara dalam menonjolkan perkembangan seni kontemporari Malaysia serta pencapaian penting beliau yang meraih penghargaan di peringkat global.

“Project Temporary Marking” yang sebelum ini dipamerkan di Menara Condong, Teluk Intan, Perak, menampilkan gabungan jaket (vest) yang melambangkan Menara Condong sebagai mercu tanda bandar berkenaan.

“Karya ini memaparkan pertindihan antara aspek geografi dan sejarah bandar serta turut dikaitkan dengan memori Zulkefli Jais sebagai anak jati Teluk Intan, Perak.

“Setiap jaket dalam karya ini mewakili perasaan dan ingatan terhadap bencana yang pernah menimpa pelarian di bandar itu serta menjadi peringatan bahawa sejarah mempunyai kecenderungan untuk berulang,” menurut kenyataan itu.

Menurut Balai Seni Negara karya berkenaan dipamerkan bersama tayangan dokumentari pendek berdurasi enam minit dua saat yang ditayangkan secara berulang sepanjang pameran berlangsung.

Dokumentari itu mendedahkan sejarah gelap sekitar Menara Condong dengan bunyi loceng yang berbunyi setiap jam mengikut Waktu Malaysia (MYT) untuk memberikan gambaran serta penghayatan lebih mendalam terhadap karya berkenaan.

Terdahulu, Balai Seni Negara memaklumkan Pavilion Malaysia yang mempamerkan hasil karya Zulkefli telah menerima kunjungan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Roslan Abdul Rahman; Duta Besar Malaysia ke Korea, Datuk Mohd Zamruni Khalid; Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad; Presiden Asia Culture Center (ACC), Lee Kanghyun serta pegawai kanan MOTAC dan Balai Seni Negara.

Sementara itu, Amerrudin berkata, Balai Seni Negara melihat peluang untuk mengangkat seniman muda tempatan ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata, Zulkefli dipilih setelah melalui proses yang panjang dalam Pertandingan Bakat Muda Sezaman (BMS) menyaksikan beliau perlu bersaing dengan puluhan peserta lain sebelum diumumkan sebagai pemenang anugerah utama pertandingan itu.

“Penyertaan beliau di Gwangju Biennale 2024 memberi suntikan semangat dan anjakan baharu buat beliau. Melalui pendedahan ini, diharap beliau akan terus menyinar sebagai seniman muda yang berpotensi serta mampu membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa,” katanya. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *