PETALING JAYA – Penganalisis percaya faktor calon akan dapat membantu Bersatu mengatasi dua perkara yang dijangka dimanfaatkan pihak lawan pada PRK Mahkota.
Zaireeni Azmi dari Universiti Sains Malaysia menjangkakan pihak lawan akan memanfaatkan kes hasutan yang dihadapi Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai bahan kempen, selain sentimen pengundi tua di Johor.
Beliau percaya Bersatu akan boleh menambahbaik peluang untuk menang dengan mempertaruhkan calon tempatan yang bagus serta boleh pengaruhi pengundi muda.
Pengaruh Umno lebih kuat di Johor berbanding negeri lain, namun mereka pernah tewas pada PRU 2018, katanya kepada FMT.
Pemilihan calon dipercayai akan lebih cermat, memandangkan Umno dan Bersatu dari segi dasar mengetengahkan naratif yang sama, iaitu berkisar tadbir urus yang baik dan memperkasa Melayu dan Islam.
Presiden Umno Zahid Hamidi juga akan berhati-hati meletakkan calon di Mahkota untuk mengekalkan momentum kemenangan Umno di Nenggiri, katanya.
Setakat ini, Bersatu dan Umno mengesahkan akan bertanding di DUN Mahkota pada pilihan raya 28 Sept depan.
Pada PRN 2022, Barisan Nasional menang apabila meraih 16,611 undi, berbanding Pakatan Harapan (11,445), Perikatan Nasional (7,614), dan Warisan (555).
Calon Umno, Sharifah Azizah Syed Zain, yang meninggal dunia pada 2 Ogos lepas, menang dengan kelebihan 5,166 undi.
Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara (MPN) Azmi Hassan optimis dengan peluang Umno, sekalipun tanpa bantuan jentera PH.
Lebih-lebih lagi jika BN dan PH bekerjasama maka lebih sukar Bersatu mencuri kerusi DUN Mahkota, katanya.
Rakyat Mahkota akan mengetahui calon yang ditawarkan oleh parti-parti yang bertanding pada 14 Sept. – FMT
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252