BERITA UTAMA
3 rakyat Malaysia ditahan di Filipina, lesen agensi pelancongan digantung

3 rakyat Malaysia ditahan di Filipina, lesen agensi pelancongan digantung

PETALING JAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menggantung lesen operasi agensi pelancongan yang disyaki mengoperasikan bot laju didakwa memasuki perairan Filipina secara haram Ahad lalu.

Menurutnya, lesen operasi agensi itu digantung sementara bagi membolehkan siasatan lanjut untuk menentukan sama ada mereka terbabit isu berkenaan.

Sekiranya siasatan mendapati ada kesalahan dilakukan agensi pelancongan itu atau mana-mana entiti lain terlibat, tindakan sewajarnya akan diambil termasuk penggantungan lesen secara kekal, katanya dipetik Bernama semalam.

Ahad lalu, pihak berkuasa Filipina menahan 15 individu terdiri daripada tujuh rakyat Malaysia dan lapan warga China selepas disyaki memasuki perairan negara itu secara haram menaiki bot laju.

Philippines News Agency (PNA) memetik Pesuruhjaya Biro Imigresen Filipina, Norman Tansingco sebagai berkata, mereka ditahan Pihak Berkuasa Maritim, Tentera Laut dan Tentera Darat Filipina di kawasan perairan Sitangkai, dekat Tawi-Tawi di selatan negara itu.

Difahamkan, kumpulan pelancong itu sedang bercuti di Semporna dan secara tidak sengaja memasuki wilayah Filipina ketika memancing di perairan Malaysia.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, kerajaan sedang berunding untuk membawa pulang tujuh rakyat Malaysia itu dan beliau berharap ada hasil positif dalam masa terdekat.

Sementara itu, Motac berkata Kementerian Luar mengesahkan hanya tiga warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Filipina dalam kes itu.

Individu ini ditahan kerana memasuki perairan Filipina secara tidak sah. Selepas pemeriksaan lanjut, pihak berkuasa Filipina mendapati mereka pelancong sah yang mengunjungi kawasan itu untuk aktiviti memancing tanpa sebarang niat jenayah.

Motac memberi peringatan kepada semua agensi pelancongan tempatan supaya memastikan pakej pelancongan dan pengaturan perjalanan ditawarkan mematuhi peraturan serta undang-undang.

Katanya, tindakan mempromosikan pakej pelancongan merangkumi lawatan ke dua atau beberapa negara dalam sehari ialah pelanggaran undang-undang serius.

Pematuhan kepada undang-undang penting untuk mengekalkan integriti industri pelancongan serta memastikan keselamatan serta kesahihan aktiviti perjalanan. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *