PETALING JAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar akan bertemu dengan Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) Jumaat ini.
Pertemuan itu, katanya bertujuan untuk membincangkan isu berkaitan penempatan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di jabatan kerajaan dan kementerian yang dibantah organisasi berkenaan.
“Saya cadang untuk berbincang dengan MCCBCHST Jumaat ini, mungkin sekitar jam 3 petang,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata kenyataan MCCBCHST berkaitan penempatan pegawai JAKIM di jabatan kerajaan dan kementerian sehingga mengganggu penggubalan dasar adalah tidak berasas.
Beliau menjelaskan, tiada penempatan baharu membabitkan pegawai JAKIM di mana-mana jabatan atau kementerian setakat ini, sebaliknya pegawai agensi yang ada di sejumlah kementerian adalah mereka yang ditempatkan sejak dahulu.
Fahmi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Mohd Na’Mokhtar untuk mengadakan pertemuan dengan pihak MCCBCHST dalam tempoh terdekat.
Semalam, MCCBCHST dalam kenyataan membantah cadangan menempatkan pegawai JAKIM di jabatan kerajaan yang didakwa berpotensi menjejaskan jaminan Perlembagaan termasuk hak asasi dilindungi Perkara 5 hingga 13, yang juga membentuk struktur asas Perlembagaan.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas kepada artikel disiarkan Daily Express yang memetik dakwaan Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), David Ong berhubung perkara terbabit.
Bagaimanapun, Na’im menjelaskan tujuan pegawai JAKIM ditempatkan hanya untuk mengendalikan program keagamaan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252