BERITA UTAMA
Pas gesa MCCBCHST tarik balik kenyataan, tak perlu jadi jurucakap mana-mana kumpulan agama

Pas gesa MCCBCHST tarik balik kenyataan, tak perlu jadi jurucakap mana-mana kumpulan agama

KUALA LUMPUR – Pas menggesa kumpulan antara agama bukan Islam, Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) menarik balik kenyataan yang membantah cadangan menempatkan pegawai JAKIM di semua jabatan kerajaan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kenyataan itu disifatkan tidak berhemah terhadap usaha kerajaan untuk menyelaras dan menyeragamkan dasar supaya lebih selari dengan prinsip Islam tanpa mengabai atau melanggar hak serta kebebasan orang bukan Islam.

Beliau berkata, Pas mahu MCCBCHST kembali kepada peranan asalnya sebagai badan perundingan antara agama dengan tujuan yang murni ke arah persefahaman dan keharmonian hubungan antara kelompok agama di Malaysia, selain menyuburkan amalan beragama dalam kalangan rakyat sebagai benteng terhadap kecenderungan buruk yang boleh merosakkan.

“Bukannya menjadi barisan depan atau jurucakap kepada mana-mana kumpulan, aliran atau ideologi politik yang boleh memecahkan kerukunan hidup bersama.

“Pas terkilan dan kecewa atas sikap serta pendirian MCCBCHST yang secara sengaja dan konsisten menimbulkan suasana tidak harmoni dan permusuhan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang agama dan kepercayaan.

“Lebih malang, naratif sumbang dan berbahaya MCCBCHST itu bukan sahaja dibuat tanpa bukti yang jelas dan sah, malah ditimbulkan sebaik sahaja negara menyambut Hari Kebangsaan ke-67 beberapa hari lalu,” katanya dipetik BHNews dalam kenyataan di sini, hari ini.

Takiyuddin berkata, sama seperti bantahan pertubuhan itu terhadap cadangan pindaan Akta 355 untuk memperkukuh Mahkamah Syariah pada April lalu, episod terbaru bantahan MCCBCHST terhadap cadangan penempatan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia di jabatan kerajaan bagi memastikan penggubalan dasarnya selari dengan prinsip Islam.

Namun katanya, bantahan itu jelas dibuat atas premis yang salah berdasarkan rujukan serta tafsiran undang-undang yang separuh masak, tidak tepat dan sewenang-wenang.

“Malah tidak keterlaluan jika dikatakan, rujukan dan tafsiran sumbang undang-undang yang dikemukakannya itu hanyalah topeng untuk menyembunyikan wajah serta niat sebenarnya yang lebih gelap dan berbahaya,” katanya.

Beliau berkata, dalam kedua-dua kes bantahan itu, MCCBCHST jelas menunjukkan sikap Islamofobianya berserta naratif sumbang untuk menggambarkan bahawa sebarang langkah dan usaha untuk menambah baik kedudukan dan pengamalan Islam di negara ini adalah ‘ancaman’ terhadap hak dan kebebasan orang bukan Islam.

“Berdasarkan premis tersebut, MCCBCHST mendakwa langkah dan usaha itu bertentangan dengan jaminan hak asasi untuk orang bukan Islam yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Tanpa bukti yang jelas bahawa pelanggaran hak itu telah atau akan berlaku, PAS percaya sikap serta pendirian MCCBCHST berhubung isu ini hanyalah andaian dan sentimen melulu semata-mata yang tidak boleh dipertahankan sama sekali,” katanya.

Takiyuddin berkata, Pas juga mendapati pendirian MCCBCHST mempunyai kesan yang serius, malah menjadi cabaran terhadap hak orang Islam untuk mengamalkan agama mereka dengan bebas, hubungan baik dan keharmonian dalam masyarakat, serta menimbulkan persoalan berkenaan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Katanya, dalam konteks kebebasan orang Islam untuk mengamalkan agama mereka, sama seperti bantahan terhadap cadangan pindaan Akta 355, MCCBCHST sekali lagi menunjukkan sikap melampau dan angkuhnya untuk campur tangan dalam urusan orang Islam dengan membuat tafsiran serta menentukan ajaran Islam mana yang harus berada ‘di ruang awam’ dan sebaliknya.

“Dengan berselindung di belakang tafsiran undang-undang yang tersasar dan separuh masak, MCCBCHST seolah-olah mahu berperanan sebagai hakim dan pendakwa raya sekali gus untuk menentukan tafsiran dan amalan agama orang Islam yang tidak berkaitan sama sekali dengan kedudukan dan peranannya.

“Lebih buruk daripada itu, MCCBCHST juga seolah-olah mempersoalkan kedudukan Islam dalam Perlembagaan serta dukungan undang-undang terhadap ruang lingkup, bidang kuasa serta peranannya dalam pentadbiran negara dan kehidupan awam rakyat,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *