SUNGAI BULOH: Pemilik motosikal yang mendakwa ‘diganggu’ dua anggota polis di sebuah stesen minyak di Subang Perdana, di sini yang tular di media sosial diminta tampil membuat laporan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor, berkata pihaknya mengesan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi tiga minit 18 saat yang memaparkan kejadian itu tular di media sosial jam 1 tengah hari, kelmarin.
“Dalam rakaman itu, petugas rondaan cegah jenayah dari Balai Polis Kampung Baru Subang mendekati sebuah motosikal di stesen minyak berkenaan.
“Untuk makluman, pemeriksaan kenderaan adalah tugas harian setiap petugas rondaan cegah jenayah di lapangan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Penularan rakaman itu dilihat menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD Sungai Buloh.
“Justeru, pemilik motosikal itu diminta tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan rakaman video yang boleh menjatuhkan imej PDRM tanpa kesahihan.
“Mereka yang berbuat demikian boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” katanya. ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252