BERITA UTAMA
JAIPk akan nasihat Raja Bomoh

Pernah berjanji untuk tidak ulangi buat ritual, JAIPk akan nasihat Raja Bomoh

IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan menasihati individu dikenali sebagai Raja Bomoh atau nama sebenarnya Ibrahim Mat Zin berhubung tindakan individu itu yang mencuri tumpuan di tempat kejadian tanah jerlus membabitkan kehilangan wanita warga India di Masjid India, Kuala Lumpur, Rabu lalu.

BHNews melaporkan, Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim sebagai berkata, siasatan mengenai sekiranya berlaku pelanggaran perundangan syariah ketika Raja Bomoh itu dikatakan membantu usaha mencari mangsa hilang itu, diserahkan kepada pihak berkuasa agama negeri tempat kejadian itu berlaku.

“Nanti kita tengok, kita panggil balik Insya-Allah …Kita akan kemukakan nasihat (dalam) hal ni.

“Kalau dia berlaku bukan di tempat (negeri) kita, kita tak boleh (ambil tindakan). Maknanya kalau dia (berlaku) di Selangor (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), maka negeri itu yang akan ambil alih, iaitu berdasarkan kesalahan itu dibuat di negeri mana,” katanya ketika ditemui selepas Program Bicara Santai sempena karnival Merdeka x Hingo Fest 2024 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini malam tadi.

Harith Fadzilah ditanya sama ada JAIPk akan memanggil atau menasihati Raja Bomoh berkenaan yang juga anak kelahiran negeri Perak, selain individu itu juga sebelum ini pernah didakwa di Mahkamah Syariah diPerak bagi kesalahan mengadakan ritual atau upacara bercanggah dengan agama Islam dan hukum syarak.

Pada Januari 2022, Ibrahim, 73, dilapor sudah berjanji kepada JAIPk untuk tidak akan mengulangi perbuatan mengadakan ritual atau sebarang upacara bercanggah dengan agama dan hukum syarak.

Ianya selepas JAIPk, didakwa oleh Ibrahim datang berbincang dan beri kesedaran kepadanya atas alasan selama ini dia tidak tahu bahawa ritual perbomohannya dianggap oleh JAIPk sebagai bertentangan dengan hukum syarak sejak tahun 2015.

Akujanji yang dibuat Ibrahim ketika itu adalah selepas dia bersama seorang wanita, Suliaha Abdul Hamid, 62 (ketika kejadian), yang dikenali sebagai Puteri Zaleha dibebaskan dengan jaminan Mahkamah Rendah Syariah Ipoh susulan satu ritual menolak musibah banjir yang dilakukan mereka di Dataran JPS di Teluk Intan yang videonya tular di media sosial.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dilapor berkata beliau sudah meminta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk memanggil Raja Bomoh itu pada kelmarin (Khamis) untuk berbincang dan menerangkan kepada Ibrahim sudut kesalahan daripada segi akidah mengenai perbuatan individu itu.

Mohd Naim dilapor berkata, selain untuk menasihat, Bahagian Penguat Kuasa JAWI juga akan menyiasat sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang mengikut Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan.

Ibrahim mencuri tumpuan sewaktu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah jerlus di Masjid India itu apabila dikatakan merenjis air ‘istimewa’ di sekitar lokasi berhampiran insiden terbabit. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *