Adik Ahmad Nawab meninggal dunia

Adik Ahmad Nawab meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Pemuzik veteran yang juga adik kepada tokoh legenda, Tan Sri Ahmad Nawab, iaitu Akbar Nawab Khan, 86, meninggal dunia dalam kereta ketika hendak keluar makan berhampiran kediamannya di Taman Sri Gombak, di sini, petang tadi.

Berita pemergian Allahyarham Akbar disahkan Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail yang menerima khabar duka itu daripada keluarga Allahyarham Akbar.

“Betul… Arwah sedang memandu hendak pergi makan. Dalam (jarak) 500meter (m) arwah, terus tidak sedar dan meninggal dunia dalam kereta… Semoga rohnya tenang di sana,” katanya kepada kepada BH Online.

Bagaimanapun, punca kematian Allahyarham Akbar yang juga bekas anggota Orkestra RTM, masih belum dapat dipastikan.

Difahamkan, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Permata di Taman Sri Gombak, pada jam 9 pagi esok.

Sementara itu, cucu saudara kepada Allahyarham Akbar dikenali sebagai Hafis berkata, keluarganya tidak menduga arwah pergi dalam keadaan mengejut.

“Jenazah masih berada di kediaman sebelum dibawa ke masjid berhampiran untuk diurus dan dikebumikan,” katanya.

Ketika hayat, Allahyarham Akbar pernah menjadi Ketua Kombo RTM Kawasan Utara pada era 1970-an sebelum meletakkan jawatan dan menjadi komposer residen bersama syarikat rakaman, EMI dan Nawab Productions.

Pada 1992, Allahyarham Akbar berkhidmat semula dengan Orkestra RTM dan melaporkan diri bersama Mokhzani dan pemain dram, Gary Gideon di bawah Pengarah Muzik, Datuk Ahmad Dassilah.

Antara lagu Allahyarham Akbar yang dianggap malar segar dan dekat dalam hati peminat adalah Selamat Hari Raya dendangan Allahyarham Datuk Sharifah Aini termasuk lagu patriotik, Wawasan 2020 nyanyian Roy. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *