BANGKOK – Ucapan umum pertama bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, menyampaikan wawasannya di hadapan ahli perniagaan, ahli politik dan diplomat terkemuka Thailand, menandakan betapa kuat pengaruhnya di negara itu.
Kehadirannya pada majlis makan malam minggu lalu di mana beliau berucap, secara langsung menyerlahkan pengaruhnya ke atas pentadbiran Perdana Menteri Thailand sekarang, Paetongtarn Shinawatra, yang juga anak perempuannya.
Antara yang hadir bagi menemui ahli politik berusia 75 tahun itu ialah bilionair terkemuka Thailand, Sarath Ratanavadi dan Dhanin Chearavanont, malah penganjur acara juga dikatakan terpaksa menolak banyak permintaan untuk menyertai majlis itu.
Ia diadakan kurang seminggu selepas Paetongtarn, 38, memenangi undian Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri termuda Thailand.
“Sebagai seorang bapa, saya harus menjaga anak perempuan saya dan mesti membantunya, tetapi saya tidak akan campur tangan dalam tugasnya sebagai perdana menteri.
“namun, saya juga tidak boleh berdiam diri dan melihat masalah dalam negara tanpa mengambil berat,” kata Thaksin pada majlis makan malam yang dihadiri 1,500 orang itu.
Penganalisis dan media menafsirkan wawasan Thaksin itu sebagai asas yang mungkin akan diterima pakai oleh Paetongtarn dan Kabinetnya, yang akan dibentuk dalam beberapa minggu akan datang ini.
Dalam ucapannya, Thaksin menawarkan penyelesaiannya pada setiap masalah yang dijangka akan dihadapi Thailand termasuklah hutang awam dan hutang isi rumah yang kronik.
Beliau juga mengulas mengenai pergolakan politik Thailand, termasuk bagaimana kes fitnah terhadapnya baru-baru ini berhubung tuduhan menghina Raja, yang didakwanya didalangi oleh lawan politik.
Bekas Perdana Menteri dua kali itu turut menyentuh mengenai rampasan kuasa tentera, namun beliau menaruh keyakinan tidak akan ada pihak yang menentang pentadbiran Paetongtarn, kerana beliau sendiri memberi jaminan akan membantu membersihkan ‘sampah’ yang dilihatnya.
Sebelum ini, Paetongtarn turut menolak dakwaan mengenai pengaruh bapanya apabila beliau melaksanakan tugas sebagai Perdana Menteri.
“Sudah tentu tidak akan ada pengaruh seperti itu. Saya akan lakukan sendiri,” katanya kepada pemberita minggu lalu.
Bagaimanapun, pemerhati politik berkata, ucapan pada majlis makan malam itu menunjukkan Thaksin mempunyai pengaruh yang besar dalam menetapkan tindakan untuk kerajaan pimpinan anak perempuannya.
Pembentukan Kabinet Paetongtarn setakat ini ditangguhkan kerana pegawai mahu memberi perhatian kepada pemeriksaan latar belakang menteri.
Mereka lebih berhati-hati selepas pendahulunya, Srettha Thavisin, dari parti Pheu Thai, dipecat oleh mahkamah kerana melanggar etika disebabkan melantik seorang peguam yang disabitkan kesalahan sebagai menteri Kabinet.
Pada masa sama, terdapat kebimbangan mengenai bagaimana Paetongtarn, yang tiada pengalaman pentadbiran, akan mengharungi cabaran menguruskan ekonomi AS$500 bilion (RM2.17 trilion), yang kedua terbesar di Asia Tenggara.
Pemimpin baharu itu juga dijangka bergantung kepada bapanya untuk mendapatkan bimbingan, kerana pendekatan dasar digelar ‘Thaksinomics’ menjadi kunci dalam memacu pertumbuhan ekonomi kepada 5.36 peratus setiap tahun sewaktu beliau berkuasa dari 2001 hingga 2006. – AGENSI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252