MONTEVIDEO – Pemain pertahanan Nacional, Juan Izquierdo yang rebah di atas padang selepas mengalami degupan jantung tidak teratur minggu lalu, meninggal dunia, kata kelab Uruguay itu, hari ini.
Pemain berusia 27 tahun itu menjalani rawatan perubatan sejak rebah semasa perlawanan Copa Libertadores menentang Sao Paulo pada 22 Ogos lalu di Brazil.
“Dengan rasa sedih dan terkejut, kami, Club Nacional mengumumkan kematian pemain kesayangan kami Juan Izquierdo.
“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga, rakan, rakan sekerja dan orang tersayang bersamanya. Seluruh Nacional sedang berkabung atas kehilangannya,” tulis Nacional di X.
Alejandro Dominguez, presiden badan induk bola sepak Amerika Selatan, turut mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan Izquierdo.
“Bola sepak Amerika Selatan sedang berkabung,” katanya.
Kelab Sao Paulo berkata, mereka sangat sedih dengan berita itu dan menganggapnya sebagai hari yang menyedihkan untuk dunia bola sepak.
Izquierdo pengsan di atas padang pada minit ke-84 perlawanan di Stadium Morumbi tanpa bersentuhan dengan pemain lain.
Dia dibawa keluar padang dengan ambulans sebelum dirawat di unit rawatan rapi Hospital Albert Einstein. – REUTERS
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252