ALOR GAJAH – Berpura-pura mahu membeli barang kemas, seorang wanita berjaya membawa lari dua utas gelang tangan emas di sebuah kedai emas semalam.
Wanita berkata mata hitam itu berpura-pura menjadi pelanggan dan memperdayakan pekerja untuk membeli barang kemas bernilai dianggarkan RM10,000 itu di bangunan Arked Mara, Jalan Pasar di sini.
Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah, dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu, suspek berbaju coklat memperdaya mangsa yang juga pekerja kedai emas itu untuk mengeluarkan gelang tangan.
Katanya, tanpa mengesyaki apa-apa, pekerja berusia 28 tahun itu menyerahkan seutas gelang tangan kepada suspek.
“Pada masa sama suspek mahu melihat seutas lagi gelang tangan emas yang lain dan mangsa telah memberikan satu lagi gelang tangan emas kepada suspek tersebut.
“Namun, suspek telah bangun dari kerusi dan melarikan diri bersama dua utas gelang emas ke arah sebuah kereta jenis Toyota Yaris yang diparkir di hadapan kedai tersebut,” katanya dalam kenyataan semalam.
Kata Ashari, terdapat seorang lelaki bertindak sebagai pemandu menunggu dalam kereta tersebut sebelum mereka bergegas meninggalkan lokasi kejadian.
Ujarnya, siasatan di tempat kejadian dengan bantuan pihak forensik berjaya menemukan kesan cap jari suspek.
“Difahamkan dua gelang tangan yang dilarikan satu seberat 15.83gram (g) berbentuk kait stamping dan seutas gelang tangan berbentuk ‘dunhill vencon stamping’ anggaran berat lebih kurang 13.43g.
“Tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam kedai yang merakam kejadian, namun terdapat CCTV di luar kedai bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, polis giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 308 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252