GUA MUSANG – Kerajaan Pas Kelantan berlapang dada dengan kekalahan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri malam tadi.
Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, mereka tetap meneruskan agenda berkebajikan dengan menyantuni penduduk Nenggiri.
Menurut beliau, keprihatinan terhadap keperluan rakyat akan kekal menjadi keutamaan dalam setiap tindakan dan dasar yang diambil oleh kerajaan.
“Kami menerima keputusan pilihan raya itu dengan berlapang dada dan menghormati pilihan yang dibuat oleh pengundi,” katanya dipetik Sinar Harian melalui kenyataan selepas keputusan diumumkan.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas memberitahu, pilihan raya merupakan satu manifestasi penting dalam memastikan proses demokrasi berjalan dengan lancar.
“Terima kasih kepada semua pengundi di Nenggiri yang menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih dalam PRK ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji jentera Pas Negeri Kelantan dan PN yang berkampung menyantuni penduduk Nenggiri sepanjang tempoh pilihan raya.
“Mereka sanggup berkorban masa, tenaga serta idea untuk membantu PN sepanjang PRK ini,” katanya.
Pada PRK yang berlangsung semalam menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mendapat majoriti 3,352 undi menewaskan calon PN, Mohd Rizwadi Ismail.
Mohd Azmawi Fikri atau lebih dikenali sebagai Awie memperoleh undian sebanyak 9,091 manakala bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang memperoleh 5,739 undi.
PRK DUN Nenggiri membabitkan seramai 20,259 pengundi yang mendaftar dengan 86 peratus ialah Melayu, 14 peratus ialah Orang Asli manakala Cina dan India masing-masing 0.2 peratus dan 0.1 peratus. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252