Oleh: Mazlan Syafie
PENEMUAN enjing roket Apollo Saturn V F-1 dianggap luar biasa selepas 40 tahun berada di dasar laut.
Pada tahun 2013, Jeff Bezos pengasas Amazon memulakan ekspedisi mengagumkan yang mengambil masa 28 hari di lautan lepas.
Misinya adalah untuk mencari dan mengangkat semula enjin roket Saturn V F-1 yang digunakan dalam program Apollo NASA. Enjin ini berada di dasar laut selama lebih 40 tahun pada kedalaman kira-kira empat kilometer.
Enjin F-1 bukan sekadar enjin biasa. Ia merupakan komponen utama dalam roket Saturn V yang membawa manusia pertama ke bulan dalam misi bersejarah Apollo 11 pada tahun 1969.
Kehebatan enjin ini sukar digambarkan dengan kata-kata. Setiap enjin F-1 mampu menghasilkan daya tujah sebanyak 1.5 juta paun bersamaan dengan kuasa 30 enjin Boeing 747.
Bayangkan enjin ini membakar 3 tan metrik bahan api dan oksigen cecair setiap saat. Jumlah ini cukup untuk mengosongkan sebuah kolam renang Olimpik dalam masa 60 saat.
Proses pencarian dan pemulihan enjin-enjin ini penuh dengan cabaran. Pada kedalaman empat kilometer tekanan air adalah kira-kira 400 kali ganda tekanan atmosfera di permukaan laut.
Teknologi canggih seperti sonar tercanggih dan robot penyelam (ROV) diperlukan untuk mencari dan mengangkat semula komponen enjin.
Berat setiap enjin melebihi 8,500 kg dan setinggi 5.6 meter dari dasar laut yang gelap gelita.
Penemuan ini bukan sahaja penting dari sudut sejarah, tetapi juga memberi impak besar kepada bidang sains dan teknologi. Para saintis kini berpeluang mengkaji kesan pendedahan jangka panjang bahan-bahan enjin kepada persekitaran laut dalam.
Jurutera moden pula dapat mengkaji reka bentuk enjin F-1 yang masih dianggap sebagai salah satu enjin roket paling berkuasa yang pernah dibina.
Lebih penting lagi penemuan ini menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk menceburi bidang kejuruteraan aeroangkasa dan penerokaan angkasa lepas.
Selain enjin F-1, pasukan ekspedisi ini juga menemui pelbagai artifak lain yang berkaitan dengan misi Apollo termasuk serpihan lain dari roket Saturn V. Setiap komponen ini mengandungi cerita tersendiri mengenai pencapaian manusia dalam menakluki ruang angkasa.
Setelah dipulihkan enjin-enjin dan artifak ini dipamerkan di pelbagai muzium di Amerika Syarikat. Ini membolehkan orang ramai melihat secara dekat teknologi yang membawa manusia ke bulan.
Penemuan ini juga telah mencetuskan minat baharu dalam penerokaan angkasa komersial.
Misi Bezos ini menunjukkan potensi syarikat swasta dalam menyumbang kepada penerokaan angkasa. Pengalaman ini telah membantu dalam pembangunan Blue Origin syarikat angkasa Bezos sendiri.
Ia juga mengukuhkan hubungan antara NASA dan syarikat-syarikat swasta dalam usaha penerokaan angkasa.
Kejayaan misi ini membuktikan dengan izin Allah SWT tiada yang mustahil bagi manusia yang berusaha dan tidak berputus asa. Ia juga mengingatkan kita akan kehebatan ciptaan Allah SWT.
Enjin-enjin ini masih dapat bertahan selama berdekad-dekad di kedalaman lautan yang ekstrem.
Kita berharap suatu hari nanti Malaysia juga akan mempunyai keinginan dan keupayaan untuk membina sendiri teknologi canggih seperti ini. Seperti mana negara-negara lain seperti China dan India yang perlahan-lahan belajar dan mengejar teknologi negara maju, kita juga boleh melakukannya.
Usaha sebegini pasti akan membawa banyak manfaat kepada negara kita sendiri. Dalam masa sama ia dapat mengurangkan kebergantungan kita kepada negara lain. Ini penting kerana pasti akan tiba satu masa di mana negara kita tidak boleh bergantung atau meminta bantuan daripada negara lain atas pelbagai faktor.
Oleh itu pembangunan keupayaan teknologi tempatan bukan sahaja satu aspirasi, tetapi juga satu keperluan strategik untuk masa depan negara.
Semoga penemuan ini menjadi inspirasi kepada kita semua untuk terus menjelajah mencari dan memahami lebih banyak lagi mengenai alam ini. Pujian kepada Allah di atas segala-galanya yang menjadikan kita sebagai khalifah di muka bumi dengan keupayaan untuk meneroka dan menghargai setiap ciptaan-Nya.
Semoga penemuan ini dapat memberi manfaat kepada umat manusia dan menjadi pemangkin kepada lebih banyak penemuan hebat pada masa hadapan.
Segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam yang telah mengurniakan kepada kita nikmat ilmu dan kemajuan teknologi.
NOTA: Penggunaan bahan api untuk enjin F-1 ni sangat besar, sampai satu minit boleh habiskan satu tangki sebesar kolam renang Olimpik. Tapi perlu diingat, enjin F-1 ni memang direka untuk beroperasi hanya beberapa minit sahaja masa pelancaran untuk lepasi atmosfera bumi.
Sebaik saja roket sampai di angkasa, enjin lain yang lebih kecil dan cekap akan ambil alih tugas untuk meneruskan perjalanan ke bulan. Jadi, tangki besar tu hanya perlu untuk peringkat awal perjalanan saja, bukan sepanjang perjalanan. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252