BERITA UTAMA
Ahmad Zahid

BN sudah putuskan calon, muka baharu tanding Mahkota

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) sudah mengenal pasti calon yang akan bertanding pada PRK Mahkota September ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, calon yang dikenal pasti itu adalah muka baharu, yang ditawarkan untuk berkhidmat kepada rakyat kawasan itu.

Katanya, beliau akan mengumumkan nama calon berkenaan bila tiba masanya dan perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat seketariat kerajaan perpaduan minggu depan.

“Calon yang akan kita ketengahkan adalah muka baharu,” katanya kepada pemberita pada Majlis International Yong Future Leaders Summit 2024 (iFUTURE 2024) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Mengenai tuntutan parti Amanah yang mahu bertanding di kerusi DUN itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menjelaskan, prinsip kerusi penyandang akan diambil kira dalam menentukan parti bertanding.

“Prinsip pertama di mana kerusi itu dipegang sesebuah parti maka formulanya parti itulah akan bertanding.

“Ini sangat dihormati parti komponen kerajaan perpaduan, ini asas akan kita gunakan bila kita letakkan calon di DUN Mahkota, di Johor,” katanya.

Pada 5 Ogos, Amanah Kluang menuntut diberi laluan bertanding pada PRK itu yang diadakan susulan kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu.

Zahid bagaimanapun menegaskan komponen itu akan bertanding dalam PRK berkenaan, sambil memberi amaran kepada pemimpin komponen kerajaan perpaduan tidak menuntut kerusi diperuntukkan kepada sesebuah parti.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Mahkota berlangsung pada 28 Sept dengan penamaan calon dijadual pada 14 September ini. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *