Suasana pilu sambut ketibaan jenazah pasangan warga emas

Suasana pilu sambut ketibaan jenazah pasangan warga emas rentung dalam kebakaran

MUAR – Suasana pilu menyelubungi perkarangan Masjid Jamek Kampung Paya Redan, Pagoh ketika menanti ketibaan jenazah pasangan warga emas yang rentung dalam kebakaran rumah, Jumaat lalu.

Mereka terdiri kira-kira 200 ahli keluarga, sanak saudara dan juga penduduk kampung terbabit yang menanti ketibaan van membawa jenazah Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan isterinya, Ara Abd Hamid, 76, dari Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Pasangan warga emas itu antara tiga sekeluarga yang maut dalam kejadian bunuh dan bakar rumah disyaki dilakukan anak sulung mereka berusia 48 tahun yang kini dalam tahanan polis.

Harian Metro melaporkan, Allahyarham dilaporkan rentung hampir 100 peratus menyebabkan pasukan forensik sukar mengenalpasti jantina mereka.

Difahamkan, sebahagian ahli keluarga terdiri anaknya menuntut jenazah di HPSF sekitar jam 9 pagi selepas keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diperolehi tengah hari semalam.

Selain Mohamed Nor dan Ara, seorang cucu mereka, Noradriana Nor Hasyim, 11, turut maut dengan terdapat kesan kecederaan pada kepala dan juga muka.

Seorang lagi cucu mereka, Norazmina Mohd Radhi, 14, terselamat dan kini masih menerima rawatan di hospital sama.

Sabtu lalu, jenazah Noradriana selamat disemadikan bersebelahan pusara ibunya, Nurul Armiza yang meninggal dunia empat tahun lalu akibat kanser.

Van membawa jenazah Mohamed Nor dan Ara tiba di masjid terbabit pada jam 9.58 pagi sebelum dibawa naik untuk disembahyangkan.

Jenazah kemudian dibawa ke tanah perkuburan Islam Kampung Paya Redan untuk dikebumikan. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *